suria

Pernah digelar Batak berekor kerana keturunan, siswi ini bangga genggam ijazah di London, “Mak ayah tak perlu kerja, bahagian mereka dah habis”

Foto graduasi Ain yang berlangsung pada 18 Julai lalu.

PERNAH diejek sebagai anak pendatang, melalui kehidupan kanak-kanak yang cukup perit dan pelbagai lagi dugaan, namun dia kini mampu tersenyum menggenggam ijazah kelas pertama dari Universiti Essex, London sewaktu sesi graduasi baru-baru ini.

Kisah mengenai perjalanan hidup gadis berusia 23 tahun, Nur Ain Hidayani Saragi Abdul Rahmad ini ternyata menarik perhatian ramai dan disifatkan sebagai satu inspirasi luar biasa buat anak muda ini.

Bapanya, Abdul Rahmad Abdul Rahim merupakan anak kelahiran Medan berketurunan Batak Karo yang merantau ke Terengganu sekitar 40 tahun lalu sebelum mendirikan rumah tangga dengan Hasmah Seri yang berasal dari Yala, Thailand.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerja adalah ibadah'! Gaji jawatan pensyarah IPTS Kelantan dalam iklan buat ramai bengang... “Baik tak payah belajar tinggi”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor”

Kata gadis yang mesra disapa Ain ini, dia sudah lali dengan ejekan yang memperkecilkan keturunan keluarganya sejak dahulu lagi.

"Dulu selalu kena ejek dengan panggilan nama. Biasanya mereka panggil anak Mat Indon, batak, batak berekor.

"Ada yang panggil pendatang, anak orang Siam dan Pati (pendatang asing tanpa izin). Yang paling teruk kena abang saya.

Ibu Ain yang berasal dari Yala, Thailand.

"Abang pendiam sebab tu dia pernah kena sabotaj motor, sampah pun pernah diletak atas kepala," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Menurut Ain lagi, antara keperitan yang pernah dilalui termasuk terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga disebabkan beberapa masalah yang melanda.

Selain masuk hutan untuk mencari pucuk paku, dia juga pernah membuat kerja-kerja berat di ladang kelapa sawit.

Ain nak mak ayah tak perlu kerja. Bahagian mereka sudah selesai. Sekarang masa untuk mereka berehat.

NUR AIN HIDAYANI SARAGI ABDUL RAHMAD

"Bila keluarga ada masalah, mak mula kerja dan Ain tolong juga. Kami kerja angkat buah kelapa sawit, susun pelepah sawit, ada juga membaja pokok kelapa sawit.

"Ain tak angkat sangat sebab berat, yang kecil-kecil boleh la. Mak yang angkat kepala sawit tu, Ain kutip buah yang dah relai je.

"Kalau ada masa lapang, ikut mak kutip pucuk paku. Kami jual murah je, segenggam 50 sen. Setiap RM10 yang terjual, tuan kedai akan ambil RM3," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai kedua-dua orang tuanya yang berusia 57 tahun, anak bongsu daripada tiga beradik ini mendedahkan bapanya dahulu merupakan penganut Kristian yang memeluk Islam sebelum berkahwin dengan ibunya.

Posting mengenai kisah Ain di laman Facebook.

Bapanya kini memiliki status kewarganegaraan tetap (PR) manakala ibunya masih lagi menggunakan visa dan mereka kini masih lagi menetap di Kampung Pelam, Kuala Telemong, Terengganu.

Ain yang memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian kelas pertama menuntut di Univerisiti Essex sejak November 2016 dan akan pulang ke Malaysia pada 5 Ogos ini selepas majlis konvokesyen pada 18 Julai lalu.

Tambah Ain lagi, ibu bapa menjadi pendorong utama kejayaannya pada hari ini.

"Ain nak mak ayah tak perlu kerja. Bahagian mereka sudah selesai, sekarang masa untuk mereka berehat. Dulu bila dengar kata-kata bahawa kemiskinan bukan penghalang kejayaan, Ain cakap ini tak betul. 

Ain bersama kedua ibu bapanya.

"Kemiskinan tu penghalang kejayaan, tapi bila fikir balik, kekayaan pun boleh jadi penghalang. Semuanya mengenai mindset kita. Anak-anak selalu salahkan ibu bapa bila hidup susah, tapi kena ingat yang mereka dah bagi yang terbaik, yang mereka mampu. 

"Jangan salahkan mereka. Kena ingat yang Tuhan tu maha adil. Benda ni yang Ain pegang dari dulu, Tuhan sayang aku," ujarnya.

Dalam pada itu, rata-rata pelayar Facebook turut meluahkan rasa kagum mereka dengan kejayaan Ain yang dikongsi oleh seniornya, Khairul Aiman Hamdan.

"Berakit rakit ke hulu berenang renang ketepian inilah sakit sakit dulu Ain senang kemudian , tauladan utk semua anak anak," tulis Hayati Daud.

"Weh bergenang air mata baca.. kat office ni bro.. kantoi la hati tisu," tulis seorang lagi netizen.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain