suria

Gara-gara COD, 2 telefon dikebas pelanggan wanita, melayang RM6,000... “Nak cari RM50 pun susah sekarang ni”

Pertemuan COD antara Amirul dan wanita berkenaan. FOTO: Facebook Amirul Nor Amirul Nor.

"NAK cari RM50 pun susah sekarang ni, saya harap dia insaf," begitulah luahan seorang peniaga dalam talian yang kerugian RM6,000 akibat ditipu seorang pelanggan wanita.

Menerusi kejadian pada Khamis malam, Amirul Fais Mohd Nor, 27, bersama adik lelaki, isteri dan dua anaknya bertemu dengan pelanggan berkenaan di pekarangan sebuah hospital di Nusajaya, Johor untuk menjual dua unit telefon bimbit.

Sewaktu pertemuan berkenaan, pelanggan wanita itu memberi alasan mahu mengambil wang dalam keretanya sebelum dia bersama beberapa lelaki yang sudah menunggu memecut melarikan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah jadi mangsa curi, tapi pensyarah tetap minta netizen tak kecam 'gadis itu'

ARTIKEL BERKAITAN: Borak dan 'rembat'! 'Makcik Myvi merah' berani curi 3 beg pelajar dalam masjid "Esok exam, nota sekali kena curi”

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Amirul mengakui masih lagi terkesan dengan kejadian berkenaan.

"Rasa terkejut, trauma pun ada. Saya dah biasa buat cash on delivery (COD) sejak 2014, tak pernah kena macam ni. Jadi takut dah nak COD.

"Masa dia nak ambil duit dalam kereta, dia minta saya tumpangkan sebab dia parking di luar kawasan hospital.

"Tapi saya suruh adik lelaki temankan dia, sebab saya nak bayar parking dulu. Tiba-tiba dengan bunyi menjerit, mereka dah lari. Sikit lagi nak langgar adik saya," ujarnya sewaktu dihubungi.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Saya harap dia fikir baik-baik dan insaf.

AMIRUL FAIS MOHD NOR

Kata Amirul lagi, dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya sejurus kejadian itu.

Perkongsian Amirul mengenai pelanggan wanita berkenaan turut menjadi tular di laman Facebook.

Malah, beberapa individu tampil menghubunginya dan memaklumkan mereka juga pernah menjadi mangsa kepada individu sama.

Foto wanita itu yang sempat dirakam oleh Amirul.

"Nasib baik saya tergerak hati nak ambil gambar dia. Ada juga bukti. Sebab saya dah biasa ambil gambar pelanggan dan akan muat naik di Facebook.

"Bila dah viral, ada yang kata pernah jadi mangsa dia. Ada dalam tujuh lapan orang juga.

"Orang penat-penat cari duit, janganlah buat macam ni. Nak cari RM50 pun susah sekarang ni, apatah lagi RM100.

"Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Saya harap dia fikir baik-baik dan insaf," katanya lagi.

Dalam pada itu, posting Amirul di Facebook mengenai kejadian itu turut menerima ribuan perkongsian daripada netizen.

Malah, ramai yang turut meninggalkan komen mereka dan meluahkan rasa geram atas tindakan wanita berkenaan.

"Allahuakhbar kesiannya. Semoga dapat tangap la si penyamun tu semua," tulis Norazie Normi.

"Allah kes curi makin menjadi. Dia tak tahu agaknya orang payah cari duit. Semoga ditimpa bala wahai pencuri," tulis Nur Shhra.

"Kecik je Malaysia ni nanti jumpa la tu. Aniaya orang tak ke mana pun," tulis seorang lagi netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Putrajaya banjir selepas satu jam hujan