suria

Bekas murid 'berjiran' dengan guru di wad... sebak tengok pengorbanannya, sakit pun gigih bekerja

Foto cikgu Nizam yang sedang memeriksa kertas peperiksaan murid-muridnya di dalam wad tular di Twitter.

MENGABDIKAN diri untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa menjadi fokus utama setiap insan yang bergelar guru.

Tanpa mengira penat dan lelah, amanah yang dipikul sentiasa dijalankan demi murid-murid tersayang.

Terbaharu, foto seorang guru, Shahrul Nizam Hussin yang sedang memeriksa kertas peperiksaan di atas katil di sebuah wad tular di laman Twitter.

Dimuat naik oleh Khairunnisa Wae Arsi, 18, dia berkata gurunya itu dimasukkan ke Hospital Gerik, Perak, sejak Khamis lalu kerana penyakit diabetes.

Paparan skrin perbualan dalam group WhatsApp Khairunnisa dengan rakan-rakan sekolahnya.

“Dia cikgu sekolah rendah saya. Dapat gambar tu dari group WhatsApp sebab rakan sekolah kami pun dimasukkan ke wad sama.

“Kawan tu sakit buah pinggang, kebetulan katil dia bersebelahan dengan cikgu Nizam.

“Memang sedih tengok gambar tu, dulu dia tak kurus macam tu. Bila sakit, dia masih utamakan murid. Sedih tengok pengorbanan cikgu,” kata Khairunnisa sewaktu dihubungi mStar Online pada Rabu.

Dua rakan pendidik, Mohd Zulfadli Mohd Arif (kiri) dan Mohd Athoillah Mohd Isa turut menziarahi cikgu Nizam di hospital.

Jelas gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, guru berkenaan sudah dibenarkan keluar dari hospital, pada Selasa.

Bagaimanapun dia bersama rakan sekolah rendahnya sempat menziarahi cikgu Nizam, pada Ahad lalu.

Memang sedih tengok gambar tu, dulu dia tak kurus macam tu. Bila sakit, dia masih utamakan murid. Sedih tengok pengorbanan cikgu.

KHAIRUNNISA WAE ARSI

Mengimbas zaman persekolahannya di SK Sri Adika Raja, Gerik, suatu ketika dahulu, Khairunissa menyifatkan gurunya itu sebagai insan yang cukup istimewa.

“Dia memang komited, sentiasa dengan murid-murid, buat kelas pagi petang siang malam.

“Dia mengajar subjek Bahasa Melayu. Cikgu Nizam ni baik orangnya dan suka ambil berat mengenai murid-murid.

Khairunnisa menyifatkan Cikgu Nizam sebagai guru yang baik dan cukup dedikasi dalam menjalankan tugas.

“Antara yang saya ingat pesanan dia dulu supaya belajar elok-elok, cari kerja bagus dan bahagiakan mak ayah,” kata Khairunnisa lagi.

Dalam pada itu, tweet perkongsian gadis itu sehingga kini menerima hampir 15,000 ulang kicau (Retweet).

Rata-rata netizen turut menzahirkan rasa simpati mereka serta mendoakan kesembuhan cikgu Nizam.

Paparan skrin perkongsian Khairunnisa yang tular di laman Twitter.

“Semoga urusan cikgu dpermudahkan, and kesihatan sentiasa dalam keadaan baik. Amin amin,” tulis @lttlebbymrza.

“Moga dia cepat sembuh dan discharge dari hospital kembali berkhidmat seperti sedia kala,” tulis @msyfiqakmal pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain