"Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga" - Viral | mStar

"Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga"

Zech menerima khidmat pesanan ringkas daripada seorang wanita yang mencari Halim. (gambar kecil) Paparan skrin mesej yang dihantar oleh wanita berkenaan.

MESEJ yang diterima daripada individu tidak dikenali menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) telah mengundang sebak seorang pemuda.

“Assalammualaikum Alim, apa khabar. Tak pernah call ibu lagi kenapa? Tak nak tau khabar ayah. Jangan Halim, kau anak lelaki syurga kau pada mak ayah tau. Lebih-lebih lagi tinggal ayah seorang. 

“Tanpa doa ayah apa yang kita buat tak ada keberkatan. Ibu mohon pada Halim sayangi ayah selagi dia ada. Kasihani ayah, dia rindu anaknya,” menurut mesej yang diterima oleh pemilik baharu nombor yang sebelum ini dipercayai kepunyaan Halim.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, Ayah, Masih Ingatkah 'Anak Hentian Bas' Ini?

Paparan skrin perbualan wanita berkenaan dengan pemilik baharu nombor itu yang memaklumkan kemungkinan Halim sudah bertukar nombor lain, telah dikongsi di laman sosial Twitter sehingga menjadi tular. 

Perkongsian di Twitter rakan karib Zech sehingga menjadi tular.

Pemilik baharu nombor berkenaan, Zecholas Buan berkata, dia menerima mesej tersebut daripada seorang wanita pada Jumaat minggu lalu, dan terlebih dahulu menerima panggilan ‘miss call’ tetapi tidak menjawabnya kerana sibuk ketika itu.

“Tak sampai setahun saya guna nombor ni. Bila saya dapat mesej tu, terus buat saya sebak sebab terfikirkan mak ayah di kampung di Miri, Sarawak.

“Kebetulan dah lama saya tak balik kampung, tapi sentiasa berhubung dengan mereka dari semasa ke semasa. Bila dapat SMS tu saya terus tanya khabar mak dan ayah,” kata pemuda berusia 26 tahun itu kepada mStar Online sambil menambah paparan skrin perbualan itu dikongsikan oleh rakan karibnya di laman sosial.

Antara pesanan mengenai Hakim yang sedang dicari.

Lebih mesra dengan panggilan Zech, pemuda yang bekerja sebagai perunding di Kuala Lumpur berkata, selepas membalas mesej 'makcik' berkenaan, anak jati Sarawak itu memberitahu dia adalah pemilik nombor tersebut, sebelum menghantar satu lagi mesej selepas itu.

“Saya ada mesej semula tawar bantuan untuk cari anak makcik tu. Saya minta butiran anak makcik tu seperti nama penuh atau gambar untuk dicari.

“Tapi makcik tu tak balas mesej sampai sekarang. Kesian makcik tu, rasa sebak setiap kali baca mesej dia untuk Halim,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Ibu Halim dah lama meninggal dunia, hanya ada ayah. Dia anak tunggal dan saya lah jaga dia bersama-sama anak-anak saya yang juga sepupunya. Halim macam anak saya sendiri.

Ibu saudara Halim

Individu yang dikatakan mencari Halim ketika dihubungi mStar Online menjelaskan bahawa Halim sebenarnya adalah anak saudaranya yang berusia 20-an.

Mesej menunjukkan Zech menawarkan bantuan untuk mencari Halim. Foto ihsan Zecholas Buan

Wanita yang enggan dikenali itu memberitahu, kali terakhir mereka berhubung pada akhir tahun lalu sebelum anak saudaranya menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Ibu Halim dah lama meninggal dunia, hanya ada ayah. Dia anak tunggal dan saya lah jaga dia bersama-sama anak-anak saya yang juga sepupunya. Halim macam anak saya sendiri.

“Tapi selepas Halim bertindak keluar daripada grup sembang WhatsApp, lepas tu dia terus senyap. Itu yang saya mesej nombor tu tanya khabar dia,” katanya yang enggan mengulas mengenai punca mereka terputus hubungan.

Seorang pengguna Twitter bernama Halim turut memberi nasihat kepada individu sedang dicari itu.

Ibu saudara Halim bagaimanapun memberitahu hubungan mereka sekeluarga baik, dan tujuan dia menghantar mesej itu kerana merindui anak saudaranya itu.

“Kami semua merindui Halim, terutama ayahnya. Halim ni bekerja di Melaka, dan saya tahu dia masih berada di Malaysia. Tapi cukuplah saya bagi ‘hint’ (bayangan) kepada Halim walau di mana saja dia berada. 

“Buat anakku Halim, kalau kamu terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa kami sekeluarga. Selagi ayah kamu ada, sayangi lah dia,” katanya yang sentiasa mendoakan Halim dilembutkan hatinya dan kembali mengeratkan silaturahim.

Halim , Zecholas

Artikel Lain