suria

Sayangkan cucu... nenek comel 'sound' gambar WhatsApp lidah terjelir, 'typo' tak ada hal!

Irfan ditegur neneknya gara-gara foto lidah terjelir di profil WhatsApp.

JAUH di mata, tapi dekat di hati.

Begitulah gambaran keakraban hubungan antara seorang nenek dengan cucu lelakinya yang telah dijaganya sejak dia berusia empat tahun.

Kini, cucu kesayangan Saniah Mohamed, Irfan Iskandar Azmi sudah menjengah usia 19 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin, Melaka.

ARTIKEL BERKAITAN: Geli hati nenek guna 'smartphone', cucu tak terbalas mesej Opah!

ARTIKEL BERKAITAN: “Tunggu kejap, nenek tengah main PUBG ni...”

Walaupun jauh di mata, Saniah tetap memerhatikan tingkah laku cucunya itu dan akan membuat teguran jika ada yang tidak kena di matanya.

Terbaharu, kisah mereka tular di laman Twitter gara-gara teguran wanita berusia 73 tahun itu mengenai gambar profil WhatsApp milik Irfan.

Selain teguran terhadap gambar sedang terjelir, Saniah turut menyangka cucunya memiliki naluri songsang gara-gara foto ini.

Menerusi paparan skrin perbualan yang dimuat naik oleh Irfan, Saniah menasihatkan agar cucunya itu memadam foto dirinya dalam keadaan lidah terjelir yang digunakan di aplikasi WhatsApp.

“Kejadian pada hari Isnin lalu, bila dia tegur saya terus tukar, takut dia terasa pula.

“Buang gambar jelir lidah, saya letak gambar dengan kawan lelaki. Tangan letak atas bahu kawan, nenek fikir saya gay dan minta tukar lagi sekali.

“Saya tak jangka dia akan fokus dan periksa lagi, akhirnya saya pakai gambar selfie biasa sahaja,” kata Ifan sewaktu dihubungi mStar Online pada Khamis.

Menurut Irfan, dia sering berhubung dengan neneknya yang menetap di Johor Bahru menerusi aplikasi WhatsApp.

Buang gambar jelir lidah, saya letak gambar dengan kawan lelaki. Tangan letak atas bahu kawan, nenek fikir saya gay dan minta tukar lagi sekali.

IRFAN ISKANDAR AZMI

Menyifatkan peristiwa itu sebagai sesuatu yang mencuit hati, Irfan bagaimanapun akur dan menerima teguran neneknya dengan hati yang terbuka.

“Kalau benda tu salah, dia akan tegur. Selagi tak ikut, dia tak akan berhenti. Kadang-kadang dia tegur baju yang saya pakai, kalau ada corak bukan-bukan, dia akan minta tukar.

“Mungkin dia nampak benda tu tak sopan, kita pun tak sedar dan tak terfikir pun. Tapi kita tak tahu bila dia akan pergi, jadi lebih baik kita ikut dan jaga hati dia,” ujar Irfan lagi.

Saniah cukup mengambil berat mengenai cucunya yang dijaga sejak kecil walaupun kini jarak memisahkan mereka.

Mengimbas kenangan bersama neneknya, Irfan mendedahkan wanita itu mula menggunakan telefon pintar pemberian bapa saudaranya, sekitar empat tahun lalu.

Malah, Irfan juga banyak mengajar neneknya untuk menggunakan peranti tersebut.

“Baru dua tahun dia guna WhatsApp, kalau tengok dalam posting saya tu, ada banyak kesalahan ejaan. Dia lebih mahir jawi berbanding tulisan rumi. Dia menaip pun agak perlahan, sayalah yang banyak ajar.

“Dia tak pasti ejaan sesuatu perkataan pun dia akan tanya saya,” kata Irfan lagi.

Paparan skrin teguran nenek Irfan di WhatsApp.

Mengimbas perjalanan hidupnya, Irfan mula dijaga oleh Saniah dan arwah suaminya sewaktu dia masih kecil setelah ibu bapanya berpisah.

Dalam pada itu, posting Irfan mengenai neneknya kini menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

Paparan skrin perkongsian Irfan yang tular di Twitter.

Malah, kebanyakan pelayar laman sosial itu turut menyifatkan Saniah sebagai nenek yang comel dan menghiburkan hati.

“Okay, nenek awak comel teruk. Typo dia pun alahai,” tulis @razasoro.

“Hahahaha aku pun penah letak dp gambar meme dog, pastu nenek tegur tak elok letak gambar anjing aduhai,” tulis @LiyanaRizzle pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
nenek, gambar profil, WhatsApp, terjelir

Artikel Lain