suria

Atlet silat wanita koma, lebih 2 minggu ibu bapa terpaksa 'menumpang' di hospital

Ain (tengah) ketika menjuarai Kejohanan Silat Remaja PSSGMK Kebangsaan dua tahun lalu.

LEBIH dua minggu atlet muda silat gayong wanita negara, Ainbatrisyia Amran masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kekejangan otot ketika berehat, hanya tiga hari sebelum dijadualkan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan.

Ketika kejadian, atlet pra Sukma Pulau Pinang itu sedang berehat selepas menjalani latihan bagi persediaan untuk menyertai Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan pada 21 Mac lalu.

Menurut ibu atlet itu, Noorida Ismail,42, Ain mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri ketika menyertai latihan pusat di Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbekalkan RM100 demi jaga anak pecah usus, ibu terpaksa 'tumpang' makanan hospital

"Sejak hari itu dia langsung tidak sedarkan diri, dan tidak ada sebarang respons daripadanya.

"Namun doktor terus berusaha memberi rawatan dan memantau keadaanya.

"Hari ini ada sedikit perubahan apabila matanya sedikit bergerak, namun masih belum sedarkan diri," ujarnya dengan nada sayu ketika dihubungi mStar Online.

Noorida berkata, sejak insiden malang itu berlaku ke atas anak keduanya, dia dan suami (ayah Ain) mengambil keputusan tinggal di bilik ang disediakan hospital di Ampang itu.

"Memang setiap hari tinggal di sini untuk menjaga Ain, terpaksa tinggalkan adik Ain di kampung bersama makciknya.

"Saya memang harapkan Ain akan sedar. Buntu tidak tahu apa nak fikir.

"Sejak insiden berlaku Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia ada mengambil berat perkembangan Ain dan memberi bantuan.

"Cuma tidak tahu selama mana akan berada di hospital ini dan terpaksa meninggalkan kerja di Pulau Pinang," jelasnya.

Tambah Noorida, sebelum ini Ain memang seorang  yang aktif bersukan dalam acara silat dan tidak pernah mengalami apa-apa masalah kesihatan.

"Dia wakil Pulau Pinang pada Sukan Malaysia dan dipanggil untuk berlatih bersama skuad kebangsaan.

"Memang terkejut dan sebagai ibu, kejadian ini amat menyedihkan saya," katanya.



Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ainbatrisyia, silat gayong

Artikel Lain