suria

Gaji RM800, bela 80 ekor kucing, “saya tak kisah makan ala kadar”

Abu Zarin dan isterinya menganggap kucing-kucing yang dibela mereka seperti anak sendiri. -foto Norashikin Ahmad

BIARPUN gajinya sebagai seorang jurupam stesen minyak hanya RM1,100 sebulan, namun Abu Zarin Sanny tidak pernah lokek untuk berkongsi rezeki dengan 80 ekor kucing peliharaannya.

Lelaki berusia 60 tahun itu menghabiskan kira-kira RM780 sebulan, lebih separuh daripada gajinya untuk membeli makanan haiwan tersebut.

Menerusi posting yang dikongsikan oleh laman Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia pada Isnin, Abu Zarin dikatakan sanggup mengikat perut demi memastikan kucing-kucingnya dapat makan.

“Saya ni muka sahaja nampak garang, tapi hati saya penyayang. Saya hanya tinggal berdua je dengan isteri, saya anggap kucing-kucing ni macam anak sendiri.

“Saya lebih utamakan kucing-kucing, saya tak kisah kalau makan ala kadar je. Tapi, tak pernah tak cukup makan, pandailah bajet-bajet,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.


Abu Zarin (kiri) terpaksa meletakkan kucing-kucing di dalam sangkar agar ia tidak berkeliaran. - Kredit gambar Abu Zarin/Norashikin Ahmad

Kata Abu Zarin, dia sudah menganggap kucing-kucing itu sebagai anaknya kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga 15 tahun lalu.

Tambah lelaki itu, hatinya mudah tersentuh apabila melihat tiada siapa yang peduli dengan kucing jalanan.

“Saya memang jenis sayang kucing… kalau kucing mati, saya memang akan menangis.

“Saya tak suka binatang dianiayai, dilanggar dan ditendang. Saya memang pantang kalau tengok manusia yang tak berhati perut buat macam tu pada haiwan.

“Janganlah buat macam tu dengan binatang walaupun pada seekor anjing. Kalau tak suka pun, halau jelah, tapi jangan apa-apakannya,” ujarnya dalam nada sayu.

Dekat tempat kerja saya ni ada banyak bahan buangan seperti kotak, botol dan tin. Sambil-sambil tu saya ambil dan jual untuk tampung kos beli makanan kucing.

ABU ZARIN

Menurut Abu Zarin, sebelum ini dia tidak dapat berbuat demikian kerana tinggal di taman perumahan di Seri Manjung, Perak.

Katanya, tidak ramai jiran tetangga yang selesa jika tinggal dekat dengan kediaman yang memelihara banyak kucing.

Namun, selepas berpindah ke kampung halamannya di Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, Abu Zarin dapat membina ruang khas untuk meletakkan sangkar kucingnya.

Selain menggunakan wang pendapatannya untuk membeli makanan kucing dan membaiki sangkar yang usang, Abu Zarin turut menjual tin dan botol terpakai kepada tauke kitar semula bagi menampung perbelanjaan bulanan.

Kekangan kewangan membuatkan Abu Zarin hanya mampu memberikan tiga skup makanan sehari kepada setiap ekor kucingnya. -foto Norashikin Ahmad

“Dekat tempat kerja saya ni ada banyak bahan buangan seperti kotak, botol dan tin. Sambil-sambil tu saya ambil dan jual untuk tampung kos beli makanan kucing.

“Tapi, bukan banyak pun yang dapat. Gaji saya dalam RM1,100, itu pun belum potong Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lepas tolak itu ini, dapatlah dalam RM800 lebih sebulan,” ujarnya.

Dengan pendapatan sebanyak itu, Abu Zarin hanya mampu memberikan tiga skup kecil makanan sehari kepada setiap kucingnya. 

Dalam pada itu, pasangan tersebut mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menyumbangkan makanan kucing dan wang tambahan untuk menampung kos membela haiwan tersebut.

Orang ramai yang berminat untuk menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Abu Zarin di talian 017-6514293.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bela kucing, Abu Zarin, ikat perut

Artikel Lain