suria

Ibu 'liat' bangun pagi lepasi cabaran... Bekal mi goreng anak tak pahit lagi, suami nak tumpang sekaki!

Izyani (gambar kecil) bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menyediakan bekal makanan untuk anak-anak dan suaminya.

“ALAH bisa tegal biasa.”

Begitulah perumpamaan yang sesuai menggambarkan kegigihan seorang ibu berkerjaya yang mencabar dirinya untuk bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan bekal makanan buat putera dan puterinya.

Kesungguhan pensyarah itu meraih perhatian netizen selepas beliau berkongsi gambar-gambar ‘lunch box’ yang disediakannya seawal pukul 5.30 pagi.

Rata-rata pengguna media sosial berasa teruja dengan perkongsian Dr Izyani Zulkifli kerana memberikan mereka inspirasi untuk melakukan perkara yang sama.

Sehingga kini, bebenang posting tersebut sudah menerima lebih 4,500 ulang kicau dan 5,000 tanda suka sejak ia dimuat naik di Twitter pada 8 Januari lalu.

Pensyarah di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengakui beliau bukanlah seorang ‘morning person’ (mudah bangun pagi), namun sanggup bangun awal kerana enggan melihat anak-anaknya berlapar di sekolah.

Salah satu bekal yang disediakan oleh Izyani.

“Asalnya, saya bagi duit belanja dekat anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun untuk beli makanan di sekolah.

“Tapi disebabkan ramai murid yang beratur dan tempoh rehat hanya 20 minit, dia pernah tahan lapar sehingga habis sekolah pada pukul 4.15 petang,” katanya kepada mStar Online.

Bermula detik itu, Izyani mendapat ilham untuk menyediakan bekalan kepada anak-anaknya pada setiap hari persekolahan di samping dapat menjimatkan lebih banyak wang.

Sebelum ini, Izyani memberikan RM5 seorang kepada anak lelaki dan perempuannya untuk membeli makanan.

Itu baru duit belanja untuk seorang anak, kalau dua orang? Bayangkan RM20 sehari untuk duit belanja mereka… kalau sebulan sudah berapa, kan?

IZYANI

Namun, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan terdapat dua sesi rehat iaitu pada pukul 9.30 pagi dan 12.30 tengah hari.

“RM5 itu mungkin cukup untuk sekali makan, tapi ada dua kali waktu rehat. Jadi, memang kena beri duit untuk dua kali makan.

“Itu baru duit belanja untuk seorang anak, kalau dua orang? Bayangkan RM20 sehari untuk duit belanja mereka… kalau sebulan sudah berapa, kan?” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Anak lelaki Izyani, Rayyan Hafeiz Murshidie ketika menikmati bekal yang disediakannya pada waktu rehat. 

Setelah melakukan cabaran itu selama 51 hari, tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang ibu selepas melihat anak-anaknya menghargai usaha yang dilakukannya.

Menurut Izyani, selain dua anaknya yang bersekolah di sekolah swasta di Gombak itu gembira, suaminya juga menunjukkan minat untuk membawa bekal ke tempat kerja.

Secara tidak langsung, Izyani kini menyediakan bekalan untuk empat orang termasuk dirinya sekali gus dapat meningkat penjimatan dalam perbelanjaan bulanan mereka sekeluarga.

Izyani bersama suami dan anak-anak mereka.

Tambah wanita yang memperkenalkan tanda pagar #bekalmom di Twitter ini, aktiviti itu juga membantunya memperbaiki mutu masakan dari masa ke semasa.

“Pernah saya masak mi goreng kali pertama, tapi masa tu tak tahu kena rebus dulu.

“Lepas anak balik sekolah, anak perempuan saya kata mi tu pahit-pahit sedikit. Daripada situ saya belajar yang mi kuning ni kita kena celur dengan air panas dulu, tak cukup kalau basuh dengan air je,” katanya sambil berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
#bekalmom, bekal, bento

Artikel Lain