suria

Tiga ekor kucing selamat berkhatan... Tuan buat pulut kuning dan majlis kesyukuran

MUSIM berkhatan kembali sempena cuti sekolah tidak lama lagi. Tapi ini bukan majlis mengkhatankan anak-anak yang biasa-biasa.

Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, majlis kesyukuran berkhatan dibuat dengan jamuan pulut kuning untuk tetamu.

"Kawan adik aku buat pulut kuning sempena sunatkan kucing beliau," menurut tulisan pengguna Twitter @NiniNell pada Isnin, sehingga diulang kicau lebih 25,000 kali.

Turut dijamu adalah rendang telur burung puyuh. Foto ihsan Khairul Faizi Dalaiil

Rupa-rupanya yang 'disunatkan' itu adalah kucing atau dinamakan proses pemandulan haiwan berkenaan di atas sebab tertentu.

Menurut Keputusan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 3 dan 4 April 2000, mengembiri (pemandulan) binatang kesayangan yang tidak boleh dimakan seperti kucing atau anjing adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahah ammah.

Maslahah ammah bermaksud jika binatang itu membawa penyakit atau menjaga keselamatan manusia serta kesejahteraan persekitaran dan sebagainya.

Tiga ekor kucing yang 'disunatkan' iaitu Achilles, Atlas dan Arez.

Pemilik kucing, Khairul Faizi Dalaiil berkata, majlis kesyukuran itu secara kebetulan dibuat sempena tiga kucingnya itu yang dimandulkan pada Sabtu lalu.

Namun pemuda berusia 32 tahun ini menjelaskan bahawa perkongsian pulut kuning berserta rendang telur burung puyuh itu merupakan tradisi keluarganya.

"Sedekah atau beri pulut kuning ini memang cara ibu bapa kami lakukan sejak dulu. Kadang-kadang tu tanpa ada sebab pun, memang kami suka berkongsi dengan kawan-kawan.

"Sebelum ini pun, saya ada bawa dan kongsi pulut kuning dengan kawan-kawan di pejabat, tapi kebetulan kucing-kucing saya 'disunatkan', tu yang saja letak pelekat 'majlis kesyukuran berkhatan' bagi nampak cantik dan kreatif," katanya kepada mStar Online.

Tak kira siapa atau apa pun, kita sebagai manusia seharusnya bersyukur. Kucing juga merupakan makhluk Tuhan, kenapa nak ada double standard?

Khairul Faizi Dalaiil

Pencinta kucing


Dua lagi kucing peliharaan Khairul Faizi.

Mempunyai lima ekor kucing baka British Shorthair, Khairul Faizi yang menetap di Damansara, Selangor memberitahu, tiga daripadanya baru berusia sembilan bulan dan diberi nama Achilles, Atlas dan Arez.

Anak ketiga daripada enam beradik ini menegaskan dia adalah pencinta kucing sejak kecil tetapi mula membela si bulus yang pertama kira-kira tiga tahun lalu.

"Saya 'khatankan' kucing-kucing ni pun ada sebab kerana mahu memastikan keadaan mereka terjamin supaya tidak terseksa apabila terlalu banyak untuk dijaga.

"Saya memang respek pada kucing-kucing. Malah, kalau ada kucing terbiar pun, saya akan pastikan mereka diberi makanan dan diletak pada pinggan kertas atau sekurang-kurangnya dialas dengan suratkhabar," katanya sambil menambah sering membawa makanan kucing ke mana-mana dengan menyimpannya di dalam kereta.

Pemberian pulut kuning menjadi tradisi keluarga Khairul Faizi.

Khairul Faizi yang bertugas sebagai ketua komunikasi korporat di sebuah syarikat di Kuala Lumpur menjelaskan bahawa pemberian pulut kuning berlauk rendang telur burung puyuh itu sebagai tanda kesyukuran dan mahu menjamu teman-teman.

Justeru, dia menolak cakap-cakap netizen yang menyifatkan pemberian pulut kuning yang dibuat atas nama haiwan itu mahu mempermainkan majlis kesyukuran.

"Tak kira siapa atau apa pun, kita sebagai manusia seharusnya bersyukur. Kucing juga merupakan makhluk Tuhan, kenapa nak ada double standard?

"Walaupun sekadar kucing, kita perlu menghormati haiwan ini sebagaimana kita menghormati manusia. Kita semua makhluk ciptaan Allah SWT, hormat-menghormati itu adalah sebaik-baiknya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, pulut kuning, khatan

Artikel Lain