JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama bagi lima calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini serta tiga individu lain.Penggantungan sementara itu berkuat kuasa sepanjang tempoh PRN berlangsung. Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah menerusi surat bertarikh 20 Julai yang ditujukan kepada jawatankuasa masjid dan surau di negeri berkenaan.Dalam surat itu, dia memaklumkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan memutuskan semua aktiviti pengajaran dan kuliah agama oleh pemegang tauliah melibatkan ahli politik atau calon PRN digantung sementara.Menurut Asri, keputusan itu dibuat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.Jelasnya, penggantungan yang berkuat kuasa mulai 18 Julai itu akan diteruskan sehingga dimaklumkan kelak.Katanya, langkah tersebut diambil bagi memelihara kesucian institusi agama, mengekalkan keharmonian masyarakat serta mengelakkan masjid, surau dan mana-mana premis pengajian agama daripada dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi memihak kepada mana-mana parti politik atau calon bertanding.Lima calon yang disenaraikan dalam surat itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (PH-Sikamat); penyandang kerusi Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (Perikatan Nasional); Setiausaha Akhbar Aminuddin Harun, Ahmad Shahir Mohd Shah (PH-Paroi); penyandang kerusi Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria (Perikatan Nasional); dan Mohd Umry Abdul Khois (PH-Pertang).Turut tersenarai ialah Senator Jufitri Joha, Datuk Jaafar Muhammad dan Muhammad Aqil Irfan Razali.