Pendekatan hijau: (Dari kiri) Lydia Wang, Datuk Lai Shu Wei, Chan Seng Fatt, Nimmi Kamal dan Datin Paduka Esther Ng. — Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN/SMG
MALAYSIA mengambil langkah lebih tegas dalam menangani perubahan iklim dengan memperkenalkan sasaran pelepasan karbon mutlak, selain memperkukuh perundangan dan mekanisme ekonomi bagi memastikan akauntabiliti iklim.Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, negara kini beralih daripada pendekatan pengurangan intensiti pelepasan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) 3.0. Sebaliknya, Malaysia menyasarkan pelepasan karbon memuncak menjelang 2030 sebelum mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.“Kementerian sedang membangunkan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, selain merangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara.“Perundangan ini akan menginstitusikan tadbir urus iklim secara menyeluruh dengan menetapkan tanggungjawab kepada sektor awam dan swasta, termasuk petunjuk prestasi utama serta mekanisme pelaporan yang ketat,” katanya.Beliau berkata demikian dalam ucaptama secara maya pada Asia ESG Summit 2026 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Selangor, pada Selasa dan Rabu.Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Malaysia turut melaksanakan cukai karbon secara berperingkat bermula tahun ini, dengan tumpuan awal diberikan kepada sektor berintensiti tinggi seperti besi, keluli dan penjanaan tenaga.Yasmin menerangkan strategi empat tonggak SDP untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada aktiviti pembinaan dan operasi.Menurut Arthur, mekanisme penetapan harga karbon itu bertujuan merangsang inovasi teknologi hijau, selain memastikan daya saing pengeksport Malaysia di peringkat global terus terpelihara.“Matlamat kita bukan untuk mengenakan tekanan berbentuk hukuman, sebaliknya mewujudkan sistem insentif yang selari dengan piawaian antarabangsa,” katanya.Dalam usaha mengurangkan pelepasan daripada sektor perindustrian, Malaysia turut meneruskan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan darat negara di bawah litupan hutan.Pada masa sama, pelbagai inisiatif ekonomi kitaran turut diperluas, termasuk kemudahan menukar sisa kepada tenaga serta usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.Arthur turut menggesa sektor korporat menghapuskan risiko greenwashing dengan mengamalkan piawaian seperti Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD) dan International Sustainability Standards Board (ISSB), selain menetapkan sasaran berasaskan Science Based Targets initiative (SBTi).Beliau berkata, syarikat juga perlu mengambil kira keseluruhan pelepasan karbon dalam rantaian bekalan, khususnya pelepasan Skop 3, bagi memastikan sasaran penyahkarbonan yang ditetapkan benar-benar berkesan.“Ketelusan ini akhirnya akan membuktikan sama ada ikrar kelestarian yang dibuat benar-benar memberikan nilai atau sekadar menjadi hiasan korporat,” katanya.Jadikan ESG pemacu daya tahan organisasiArthur turut menyifatkan Asia ESG Summit 2026 yang dianjurkan Star Media Group (SMG) sebagai platform strategik merentas industri untuk pemimpin pemikir mempercepatkan tindakan kelestarian di rantau ini.Menurutnya, peralihan berskala besar memerlukan kerjasama dinamik antara dasar kerajaan yang kukuh, inovasi berterusan daripada pelabur serta pelaksanaan agresif oleh sektor korporat.“Saya menyeru pemimpin korporat supaya tidak melihat kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sekadar latihan pematuhan yang rigid.“Sebaliknya, jadikan ESG sebagai teras daya tahan organisasi, pemacu inovasi dan batu loncatan untuk meningkatkan daya saing kewangan di peringkat global,” katanya.Beliau turut menggesa perniagaan melihat kelestarian sebagai strategi modal yang berdisiplin dan sebahagian daripada kerangka tadbir urus berintensiti tinggi kerana pendekatan itu menjadi asas kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk perniagaan dan alam sekitar.Asia ESG Summit 2026 bertemakan Driving Action to Measurable Impact merupakan persidangan kedua dianjurkan di bawah Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC), sebuah inisiatif yang diterajui SMG bersama Media Group of Kompas Gramedia (KG Media) dari Indonesia dan Inquirer Group of Companies (IGC) dari Filipina.Sime Darby Property Bhd merupakan penaja utama, manakala Permodalan Nasional Bhd menjadi rakan sokongan.Asia ESG Summit 2026 menghimpunkan pihak berkepentingan utama dari seluruh rantau ini untuk bertukar pandangan dan memperkasa usaha kelestarian.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt berkata, penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan tanggungjawab kumpulan itu sebagai anggota pengasas A-EPIC untuk memperluas inisiatif kelestarian di peringkat serantau.“Pada tahun pertama, kami memulakan dan memberi tumpuan kepada dialog. Tahun kedua ini pula, kami mahu membuktikan pelaksanaan dan pengoperasian.“Keupayaan kami menjangkau hampir 125 juta orang memberi kuasa untuk memperluas inisiatif ini. Dengan berkongsi kajian kes dan membina komuniti, kami mahu membawa agenda ini melangkaui perhubungan awam kepada pelaksanaan yang telus dan boleh diukur,” katanya.Sementara itu, Naib Presiden Kelestarian KG Media, Wisnu Nugroho berkata, komunikasi kelestarian perlu bergerak melangkaui niat baik dan naratif yang menarik.Menurutnya, setiap komitmen perlu disokong data yang boleh dipercayai, pengukuran konsisten dan pelaporan telus bagi mendapatkan kepercayaan awam.Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado pula berkata, media mempunyai peranan penting untuk meneliti dakwaan ESG, berkongsi amalan terbaik yang disahkan serta memastikan syarikat bertanggungjawab terhadap data yang dilaporkan.Tangani cabaran bandarPengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property, Dr Yasmin Rasyid berkata, penerapan prinsip ESG dalam keseluruhan operasi perniagaan penting bagi membina daya tahan jangka panjang dan mencipta nilai berkekalan untuk pihak berkepentingan.Beliau berkata, pembangunan mampan perlu dilihat sebagai pelan tindakan dalam membentuk masa depan, bukan sekadar komitmen di atas kertas.Dalam pembentangannya bertajuk Beyond ESG Reporting: Turning Sustainability Ambitions into Real-World Impact, Yasmin turut mengetengahkan cabaran urbanisasi yang semakin meningkat.Beliau berkata, 90 peratus penduduk dunia dijangka tinggal di kawasan bandar menjelang 2050, manakala 60 peratus rumah yang diperlukan untuk menampung populasi masa depan itu masih belum dibina.Bagi menangani cabaran berkenaan, Sime Darby Property menggariskan strategi berasaskan empat tonggak utama, iaitu tenaga dan karbon, biodiversiti, daya tahan iklim serta pengalaman komuniti bagi mengurangkan pelepasan daripada aktiviti pembinaan dan operasi.Sementara itu, sesi bertajuk Climate Resilience and Adaptation: Hardening Assets Against Extreme Weather Risk oleh Profesor Madya Dr Chen Jit Ern turut menarik perhatian peserta.Chen yang mengetuai Jeffrey Sachs Centre on Sustainable Development di Sunway University berkongsi pandangan mengenai cara syarikat menilai dan mengurus risiko fizikal berkaitan iklim, memperkukuh infrastruktur serta membina daya tahan menghadapi kejadian cuaca ekstrem.