SEORANG remaja lelaki mengalami keretakan pada bahagian tengkorak, pendarahan dalam kepala serta telinga kanan selepas didakwa dipukul empat remaja di sebuah kawasan perumahan di Cheras, Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.Susulan kecederaan itu, ibu mangsa, Zulaikha Sabri memberitahu anaknya yang berusia 14 tahun kini berada dalam keadaan trauma selain perlu ditemani sepanjang masa. "Dia tidak boleh bersendirian. Selain risiko sawan, dia tidak boleh bergerak terlalu aktif untuk tempoh antara enam hingga 12 bulan sehingga kecederaan dialami pulih sepenuhnya."Keretakan itu mengambil masa yang lama untuk sembuh," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.Bercerita mengenai kejadian, Zulaikha mendakwa ia berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan remaja terbabit terhadap anaknya.Bagaimanapun katanya, dia menganggap perkara tersebut terlalu kecil sehingga membawa kepada tindak balas melampau menerusi kekerasan."Mereka cari anak saya sampai di kawasan rumah. Anak saya pakai seragam sekolah lagi masa itu. Kenapa nak bergaduh sampai pukul macam itu sekali?"Mereka bukan budak-budak yang duduk sini, cuma salah seorang itu kawan anak saya, lagi tiga kami tak kenal," katanya.Mengulas mengenai perkembangan kes, Zulaika mendakwa empat remaja terbabit pernah direman selama dua hari selepas laporan polis dibuat namun kesemua mereka dibebaskan dan kes masih dalam siasatan.Sebagai ibu kata Zulaikha, dia cuma berharap anaknya mendapat keadilan selain kesemua pelaku menerima hukuman setimpal."Saya juga berharap ibu bapa mereka datang memohon maaf tapi sehingga kini tiada yang berbuat demikian."Sekarang anak saya masih trauma serta dalam ketakutan dan berkemungkinan akan bertukar sekolah," ujarnya.Jelasnya, ketika ini anak lelakinya itu masih dalam cuti sakit selama sebulan dan sepanjang tempoh itu juga perlu menjalani pemeriksaan selain berjumpa pakar berkaitan telinga, hidung dan tekak (ENT).Zulaikha sebelum ini turut berkongsi video kejadian yang menimpa anaknya itu di media sosial.Berdasarkan video tersebut, rambut anaknya ditarik sebelum dia dijatuhkan secara paksa ke lantai dan kemudian ditampar.Perkongsian itu turut menarik perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menganggap perbuatan tersebut melampaui batas."Ini sudah melampau. Wajib dilaporkan kepada Tribunal Anti Buli di bawah Akta Anti Buli 2026."Tribunal boleh memerintahkan pampasan atau ganti rugi kepada mangsa, yang boleh mencecah RM250,000 bergantung kepada kes."Pihak Kementerian Pendidikan juga wajib ambil tindakan tegas kepada pembuli-pembuli ini," katanya.