suria

Bukan tak sokong orang kita, tapi dedah usahawan tudung "tukang jahit Bangla bagus, lebih kemas"

BULAN ke tiga tahun ini hampir melabuhkan tirainya, maka tidak lama lagi kita bakal menginjak ke Mei di mana umat Islam mula menunaikan ibadah puasa Ramadan sebelum meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Selain makanan, pakaian juga menjadi aspek penting dalam menyambut hari mulia pada awal Jun itu dan ketika ini, realitinya kebanyakan tukang jahit pastinya sudah tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

Bercerita mengenai tukang jahit, posting seorang usahawan tudung menjadi tular apabila dia membuat perbandingan kualiti jahitan antara tukang jahit tempatan dan khidmat yang ditawarkan warga Bangladesh.

Wanita itu, Nuriylia Malek sewaktu dihubungi mStar Online berkata, bukan niatnya menghina bangsa sendiri sebaliknya ia lebih kepada luahan kerana ketidak puasan hatinya sahaja.

Mesra disapa Iylia, wanita berusia 27 tahun itu yang mengusahakan perniagaan pakaian muslimah di Alor Star, Kedah mengakui agak serik untuk menghantar tempahan kepada tukang jahit tempatan.

Posting Iylia yang tular di laman Twitter.

"Sudah hampir dua tahun saya jadi usahawan, dalam lima ke enam tukang jahit Melayu yang saya hantar, kualiti tak mencapai apa yang saya inginkan.

"Dalam RM30,000 ke RM40,000 juga saya rugi. Sedih juga, orang cakap kena tolong bangsa kita, tapi mereka tak nak tolong diri sendiri.

"Pengalaman saya bila hantar kepada tukang jahit Bangladesh, jahitan mereka sangat bagus. Siap tepat pada waktu, kadang-kadang siap lebih awal," ujar Iylia pada Selasa.

Tambah Iylia lagi, dia bukan sahaja berpuas hati dengan kualiti yang dihasilkan, malah turut terpegun dengan adab sopan mereka.

Selain banyak memudahkan urusan kerjanya, tukang jahit Bangladesh juga cukup menghormati pelanggan dan tidak pernah mungkir janji.

Selain kualiti jahitan, Iylia turut memuji adab sopan pekerja Bangladesh.

"Lebih sepuluh kali saya hantar kepada tukang jahit Bangladesh di Kepala Batas, Pulau Pinang. Memang senang nak berurusan. Jahitan pun kemas.

"Mereka juga tak tamak, walaupun banyak tempahan untuk sambutan hari raya, mereka sudah tak terima, takut tak sempat siap pula nanti.

"Memang serik, tapi kalau ada tukang jahit Melayu yang bagus, Insya-Allah saya hantar kepada mereka juga," katanya.

Menurut Iylia lagi, dia menitikberatkan soal kualiti kerana enggan jenama yang diasaskannya terpalit dengan cakap-cakap kurang enak dalam kalangan pelanggan.

Perbandingan yang dibuat Iylia memaparkan tudung kelabu (dijahit oleh tukang jahit Bangladesh) dan tudung merah jambu (dijahit oleh tukang jahit tempatan).

Selain tudung, Iylia turut menjual seluar palazzo dan pakaian muslimah sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, posting Iylia mengenai perbandingan itu menerima lebih 10,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

Selain Iylia, beberapa individu turut tampil bercerita mengenai pengalaman hampir sama menerusi ruangan komen posting tersebut.

"Sebab tu tak suka hantar kat Melayu, tak kemas. Pastu lambat. Baju contoh pun bertahun hilang, tah sepah kat mana-mana. Bangla juga yang bagus," tulis @HarizahBalkish.

"Bangla jahit baju kurung aku dua pasang pun kemas minta siap dua minggu, sebelum dua minggu dah siap," tulis @nurhanish_ pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nuriylia Malek, Tudung, Tukang Jahit

Artikel Lain