Adik dah sedar tapi masih muntah-muntah - Ibu mangsa sisa toksik - Viral | mStar

Adik dah sedar tapi masih muntah-muntah - Ibu mangsa sisa toksik

Noor Atikah (kiri) menyifatkan Azzfa (kanan) sebagai seorang anak yang sentiasa ceria dan kuat semangat. Foto ihsan Noor Atikah.

TIADA kata-kata yang dapat diungkapkan seorang ibu melainkan memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila anak kesayangan kembali sedar selepas terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak tengah hari Selasa akibat terhidu sisa toksik yang dibuang di Sungai Kim Kim.

Noor Atikah Daud ketika dihubungi mStar Online mengesahkan keadaan anaknya, Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, menunjukkan perkembangan positif tengah hari tadi.

Affza antara 102 mangsa dari SMK Tanjung Puteri Resort yang dikesan mengalami simptom loya, muntah dan sesak nafas dipercayai akibat pencemaran bahan kimia pada pagi Selasa.

"Alhamdulillah, Affza sudah sedar. Sewaktu saya melawat dia tengah hari tadi (Rabu) dia juga sudah boleh menggerakkan tangannya. Dia macam mahu bercakap sesuatu kepada saya tapi tak boleh kerana saluran wayar dan tiub masih dipasang pada mulutnya.

"Bila saya cakap Ummi sapu air zam zam dekat bibir ya... dia cuma angguk. Lepas tu dia menangis. Saya tak tahu mungkin dia sakit ke apa. Saya cuma beritahu dia supaya bertenang, jangan menangis dan sentiasa ingat Allah," katanya dalam nada sebak.

Menurut ibu kepada tujuh anak itu, dia turut bimbang apabila Affza Balqis atau lebih mesra disapa sebagai Adik masih mengalami muntah-muntah sejak semalam.

Azzfa masih dirawat di ICU HSI, Johor Bahru.

"Masa saya melawatnya tadi, dia muntah di depan saya. Saya juga dimaklumkan jururawat dia sudah muntah sebanyak empat kali.

"Saya rasa mungkin dia tak selesa dengan saluran pernafasan yang dipakaikan pada mulutnya. Namun saya juga bimbang kesan sisa toksik itu kepada dirinya pada jangka masa panjang," kata Noor Atikah.

Noor Atikah turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang melakukan solat hajat dan mendoakan agar anaknya serta semua mangsa yang terjejas kembali pulih.

"Saya amat berterima kasih kepada anda semua. Berkat doa dan solat hajat semua anak saya beransur pulih dengan izin Allah.

"Saya mohon semua teruskan berdoa. Hanya doa yang dapat membantu anak saya dan mangsa lain yang masih kritikal dan ditempatkan di ICU," katanya yang juga seorang suri rumah.

Semua jadi takut. Bila masuk ICU ini bukan kes biasa-biasa tapi melibatkan antara hidup dan mati. Bila tahap itu macam-macam boleh berlaku. Jadi saya harap pasukan penyiasat dapat mencari dalang insiden itu dan bawa mereka ke muka pengadilan.

Noor Atikah Daud


Jelasnya lagi, anak keempat daripada tujuh beradik itu masih ditempatkan di ICU.

"Dia masih dalam ICU lagi cuma keadaan dia tidaklah seteruk semalam. Doktor pun masih pantau keadaan dia dan saluran pernafasan belum dicabut lagi. Dia juga perlu banyak rehat," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila dimaklumkan mengenai keadaan anaknya pagi Selasa, Noor Atikah berkata hatinya luluh dan seakan-akan tidak percaya anaknya yang disifatkan sebagai 'tulang besi' itu terbujur kaku di ICU.

"Saya jadi takut dan fobia bila dengar perkataan ICU. Ini kali ketiga saya menerima berita mengejutkan. Pada Januari tempoh hari suami saya dimasukkan ke ICU kerana serangan jantung.

Azzfa bersama ibu dan bapanya. Foto ihsan Noor Atikah.

"Lepas tu bulan Februari, emak saya di Kelantan dimasukkan ke wad kecemasan sebab sakit. Kali ini anak saya pula masuk ICU. Saya dah tak kuat. Suami saya pun alami sesak nafas apabila dapat tahu tapi saya minta dia bertenang dan keadaan kembali ok," katanya.

Dalam pada itu, Noor Atikah berharap agar pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim dikenakan tindakan sewajarnya.

"Orang yang buang sisa toksik itu memang tidak berperikemanusiaan langsung. Seorang demi seorang tumbang di sekolah. Insiden itu turut memberi kesan emosi kepada keluarga mangsa.

"Semua jadi takut. Bila masuk ICU ini bukan kes biasa-biasa tapi melibatkan antara hidup dan mati. Bila tahap itu macam-macam boleh berlaku. Jadi saya harap pasukan penyiasat dapat mencari dalang insiden itu dan bawa mereka ke muka pengadilan," katanya.

Pada Selasa, dua lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort, dekat Pasir Gudang, Johor Bahru menjadi ‘mangsa pencemaran’ terpaksa ditutup apabila pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu dikesan mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah.

Pelajar yang terlibat kemudian dihantar ke HSI untuk rawatan susulan.

Artikel Lain