suria

"Saya kasihankan pemiliknya, saya tak sengaja ambil" - Wanita tudung biru, 'shopping' di Sogo dicari

Beg plastik yang mengandungi beg tangan, minyak wangi dan alat solek milik seorang wanita.

GARA-GARA terambil beg plastik orang lain, seorang wanita nekad mencari tuannya dengan nilai barangan tersebut yang dianggarkan lebih RM500.

Wanita berkenaan yang ingin dikenali sebagai Kak Zu berkata dia berharap dapat memulangkan semula barangan itu, dipercayai milik seorang wanita selepas menyedari dia tersilap membawa pulang satu beg plastik bukan miliknya pada petang Selasa (25 Disember).

"Ia berlaku ketika saya sedang menunggu anak perempuan saya membeli-belah di Watson Sogo. Sementara tunggu dia 'shopping', saya letakkan selonggok beg plastik di tepi premis berkenaan.

"Kemudian saya dan anak lelaki saya pergi simpan barang dalam kereta sebelum kami bergegas ke surau untuk solat.

"Sedang kami masukkan barang, anak perempuan saya 'call' tanya kalau-kalau kami ada terambil beg plastik orang lain kerana katanya berlaku sikit kekecohan sebab seorang perempuan hilang barang yang dibeli," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Kak Zu memuatnaik gambar beg plastik milik seorang wanita di Twitter pada Selasa.

Wanita berusia 46 tahun itu memberitahu, ketika itu tiada siapa di antara mereka sedar kehadiran beg plastik berkenaan yang mengandungi beg tangan, minyak wangi dan alat solek.

Kak Zu mendakwa beg plastik itu berada dekat dengan longgokan beg plastik milik mereka sekeluarga, menyebabkan dia tidak sedar dan tersilap mengambil barangan milik orang lain.

"Saya terus bergegas naik semula ke Watson, malangnya wanita itu sudah tiada di situ.

"Kemudian saya tanya kepada jurujual di situ jika ada individu yang kehilangan barang. Dia beritahu memang tadi ada perempuan hilang beg plastik.

"Saya beritahu dia saya terambil dan tinggalkan nombor telefon saya di situ kalau-kalau pemiliknya datang semula," katanya.

Tidak terhenti di situ, Kak Zu meminta anak perempuannya memuat naik status di Twitter bagi menjejak wanita berkenaan, bagaimanapun usaha itu tidak berjaya.

Jelasnya, anak perempuannya ada memberitahu wanita berkenaan memakai tudung warna biru muda dan mempunyai tahi lalat di wajahnya.

Status yang dimuat naik untuk mencari pemilik barangan berkenaan.

"Saya kesian dekat pemiliknya kerana saya tak sengaja ambil. Dia letak berdekatan dengan longgokan barangan kami dan tiada orang yang jaga.

"Pelbagai usaha saya lakukan dengan harapan kami dapat berjumpa pemiliknya, namun sehingga ke hari ini tiada siapa yang datang menuntut" ujarnya.

Sementara itu di Twitter, netizen mempertikaikan mengapa Kak Zu tidak meletakkan barangan itu di bahagian 'Lost and Found' pusat beli-belah berkenaan namun Kak Zu punya alasan tersendiri.

"Saya tanya ada tak pelanggan yang lapor barangan hilang namun mereka memaklumkan tiada siapa yang buat laporan.

"Sekali pun saya beri pada mereka, saya tidak tahu akhirnya barang itu ke mana. Jadi saya simpan dan nekad untuk pulangkan sendiri kepada pemiliknya," katanya.

Menurut Kak Zu, pemilik barangan itu boleh menghubunginya untuk menuntut bungkusan barangan bernilai lebih RM500 itu.

Dia juga menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati dan menjaga barangan mereka terutama ketika berada di tempat awam.

"Saya kesal kenapa barangan berharga seperti itu boleh biarkan begitu sahaja. Seolah harganya RM10 sahaja letak seperti itu.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga agar kejadian sama tidak berulang," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Krismas, Sogo, barang hilang

Artikel Lain