SARAWAK akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Disember ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat.Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pengundian awal pula akan berlangsung pada 8 Disember. “Writ pilihan raya bertarikh hari ini (6 November),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN itu di Kuching.Ramlan berkata, daftar pemilih terkini bagi September 2026 yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu akan digunakan dalam pilihan raya negeri berkenaan.Jelasnya, daftar itu mengandungi seramai 2,058,781 pemilih, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan.Ramlan turut memaklumkan SPR akan memperluaskan pelaksanaan sistem rintis Kehadiran Pengundi melalui Pengecaman Aksara Optik (OCRVA) pada PRN Sarawak kali ini.“Ia akan digunakan di semua saluran pengundian di setiap pusat mengundi melibatkan 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak,” katanya.Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November.Selain itu, Ramlan berkata, SPR telah melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya bagi mengendalikan PRN berkenaan dengan bantuan 305 penolong pegawai pengurus pilihan raya.Bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh pilihan raya, dia berkata SPR akan menubuhkan 82 pasukan penguat kuasa kempen yang turut dianggotai pegawai polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon.Ramlan berkata, permohonan undi pos telah dibuka mulai 26 Oktober dan akan ditutup pada 25 November bagi petugas pilihan raya, anggota serta pegawai SPR, selain anggota polis, tentera dan petugas media.Bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara serta agensi dan organisasi, tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 20 November.Sementara itu, SPR dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 97 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada PRN Sarawak.Seramai 40,505 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.“Sebanyak 82 pusat pengundian awal dengan 106 saluran serta 1,945 pusat mengundi dengan 4,482 saluran akan disediakan,” menurut kenyataan itu.SPR turut menganggarkan kos bagi mengendalikan PRN Sarawak kali ini berjumlah RM174.94 juta.Ramlan kemudian menyerahkan surat pelantikan kepada 82 pegawai pengurus pilihan raya berkenaan.Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN berkenaan. - The Star.