suria

Budak 4 tahun meninggal dunia lepas dijangkiti influenza A

Jangkitan influenza A boleh mengakibatkan kematian. -Gambar hiasan

PENINGKATAN jangkitan influenza A dan B yang ketara pada masa ini, mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Terbaharu, seorang kanak-kanak dari Kampung Sadong Jaya A di Samarahan, Sarawak dilaporkan meninggal dunia awal pagi Jumaat.

Perkara itu dimaklumkan seorang wanita di laman Thread yang sering berkongsikan maklumat mengenai jangkitan berkenaan.

"Berita sedih, dimaklumkan adik Nurhan Eshan Nakquiyuddin berusia empat tahun dari Tabika Kemas Kampung Sadong Jaya A telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Jenazah sedang diuruskan di Hospital Umum Sarawak dan akan di bawa ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan," kongsinya menerusi akaun @mdmena5893.

Tambah wanita ini lagi, enam buah sekolah di Sarawak dilaporkan sudah mempunyai rekod jangkitan influenza A.

Oleh itu, katanya, orang awam digalakkan untuk memakai pelitup muka dan mengelakkan diri dari hadir ke sekolah yang terjejas.

Berdasarkan laporan mingguan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya.

Laporan itu turut menambah bahawa kes jangkitan terbanyak melibatkan institusi pendidikan.

"Semua negeri melaporkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor sebanyak 43 kluster; Kuala Lumpur dan Putrajaya (15 kluster); Pulau Pinang (10 kluster); Johor (sembilan kluster) dan Kedah (lima kluster).

"Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah iaitu 32 kluster, sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (sembilan).

"Peningkatan ini mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku dan setakat ini masih terkawal," menurut kenyataan pada Khamis.

KKM turut memaklumkan walaupun pemantauan sentinel mendapati kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat diikuti pertambahan jumlah kluster influenza, peningkatan itu masih dalam jangkaan musim influenza dan terkawal.

Artikel Lain