suria

9 aktivis Malaysia ditahan Israel dijangka diterbangkan ke Turkiye

Sembilan rakyat Malaysia antara yang ditahan ketika menyertai misi FFC-TMTG.

SEMBILAN aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel dijangka antara 95 sukarelawan yang akan diterbangkan ke Turkiye pada Jumaat.

Mereka ditahan ketika menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG).

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, difahamkan penerbangan itu membawa aktivis dari 22 negara, termasuk kemungkinan sembilan rakyat Malaysia serta enam anggota Global Sumud Flotilla (dari Norway, Maghribi dan Sepanyol).

“Menurut maklumat yang diterima daripada pusat kawalan Freedom Flotilla Coalition di Turkiye, Kementerian Luar Turkiye memaklumkan sebuah penerbangan dari Israel dijangka mendarat di Istanbul sekitar pukul 3 petang waktu tempatan, iaitu kira-kira pukul 8 malam waktu Malaysia hari ini (Jumaat).

“Kami masih menunggu pengesahan daripada Wisma Putra berhubung status sembilan aktivis Malaysia yang berada dalam penerbangan itu,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ramai ‘kabur’, tertanya-tanya... Ini 12 fakta Global Sumud Flotilla setiap orang perlu tahu

Dia berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat MyCARE pada Jumaat bagi memberi perkembangan terkini mengenai sembilan delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi FFC-TMTG.

Laporan terdahulu menyebut proses tribunal membabitkan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dijangka selesai menjelang tengah malam Khamis.

Semua delegasi Malaysia sudah menandatangani dokumen pengusiran, manakala MyCARE sedang menunggu maklumat terkini daripada peguam The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) yang mewakili mereka.

Sembilan wakil Malaysia itu terdiri daripada Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauzian Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil. -The Star

Artikel Lain