KERAJAAN Perlis memutuskan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri itu berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata keputusan itu akan melibatkan kurang daripada 50 premis yang menjual vape.
“Kerajaan negeri akan memberikan sokongan kepada pengusaha vape di Perlis untuk mereka membuka perniagaan baharu yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu.
Mohd Shukri berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati penggunaan vape memberi kesan negatif dan menjadi ancaman kepada golongan anak muda di negeri itu.
“Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan vape dan kerajaan negeri berusaha melaksanakannya secara menyeluruh,” katanya.
Bulan lalu pula, seorang pelajar tingkatan tiga diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape dalam tandas sebuah sekolah di negeri itu.
Terdahulu, Johor menjadi negeri terawal dengan melarang penjualan rokok elektronik itu sejak 2016.
Pada April tahun ini, Terengganu turut mengambil langkah yang sama dengan mengharamkan penjualan vape juga bermula 1 Ogos depan.


