suria

Seperti tahu ajal bakal tiba... Muhamad Akmal kongsi foto bersama isteri, anak-anak sehari sebelum terlibat nahas

Foto terakhir yang dimuat naik Koperal Muhamad Akmal Muhamad (kiri) di Facebook.

SEHARI sebelum nahas meragut nyawa, salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, sempat memuat naik foto terakhir bersama isteri dan anak-anaknya di Facebook.

Perkongsian Muhammad Akmal yang mesra dengan gelaran Yoh itu meruntun hati ramai apabila ia dikaitkan dengan pemergiannya dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi Selasa.

Menurut sahabat Allahyarham, Mohd Shafik Zainorin yang memuat naik perkongsian berkenaan, hantaran terakhir Yoh di laman sosial dengan diiringi lagu berjudul Kembalilah nyanyian Fathi Saleem, memberi bayangan seolah-olah mengetahui ajalnya bakal tiba.

"Story terakhir di Facebook arwah semalam (Isnin), muat naik gambar dia sekeluarga dengan lagu yang dia letak seakan arwah tahu yang arwah akan meninggalkan isteri dan anak-anaknya di dunia ini," katanya menerusi satu video di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota FRU terkorban sempat kongsi video di WhatsApp, tunjuk suasana dalam trak bersama rakan-rakan

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berulang... Kemalangan maut libatkan anggota FRU pernah berlaku lebih 3 dekad lalu

Dalam pada itu, Shafik turut meluahkan rasa terkejut selepas mendapat tahu bahawa rakannya itu antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas membabitkan trak pasukan dengan sebuah lori membawa muatan batu.

"Tak sangka arwah salah seorang yang terkorban dalam kejadian kemalangan antara trak FRU dengan lori bawa batu pagi semalam.

"Berehatlah sahabatku Yoh, semoga setiap titik peluh dan keringat kamu menjadi asbab pahala serta kebaikan di sisi Allah. Amin," ujarnya lagi.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak selepas melihat gambar terakhir Allahyarham bersama keluarga, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan anak-anak yang ditinggalkan masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ayah.

Koperal Muhamad Akmal Muhamad (kiri) antara sembilan anggota FRU yang terlibat dengan kemalangan tragis pada pagi Selasa.

"Tajuk lagu Kembalilah, Allahuakbar. Al-Fatihah buat beliau.

"Anak-anak masih kecil. Allahuakbar, sabar ye kakak. Semoga kuat ye.

"Bangga anak-anak arwah dapat seorang ayah yang hero negara," tulis netizen.

Untuk rekod, jenazah Allahyarham Koperal Muhamad Akmal dikebumikan di Masjid Al-Mubarak, Teluk Pial, Kuala Kurau di Perak pada pagi Rabu.

Terdahulu, sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh yang terkorban dalam kemalangan tersebut menerima penghormatan terakhir dalam satu istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan awal pagi hari yang sama.

Istiadat penuh kepahlawanan yang berlangsung sekitar pukul 3.30 pagi di perkarangan FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh itu disaksikan lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, rakan setugas serta kepimpinan tertinggi PDRM dan negeri.

Difahamkan, nahas dipercayai berpunca daripada kerosakan stereng sebuah lori treler membawa muatan batu yang hilang kawalan dan merempuh trak FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugasan kawalan sempena perayaan Chitra Pournami.

Pemandu lori tersebut telah direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia