POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti pengorekan tanah di sekitar lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada 1 April lalu.Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata aktiviti tersebut membabitkan kerja penggantian paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat (lokasi) letupan. “Polis mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor serta pekerja-pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut, yang menggunakan dua jentera iaitu sebuah ‘backhoe’ dan sebuah ‘excavator’,” katanya dalam sidang media pada petang Jumaat.Tambah beliau, salah satu ‘excavator’ yang diletakkan di lokasi turut terbenam dalam lubang yang terhasil daripada letupan berkenaan.Polis juga mengesahkan bahawa aktiviti pengorekan tanah (ekskavasi) bagi tujuan penggantian paip-paip kumbahan telah dihentikan pada 30 Mac. "Polis sedang menyiasat sama ada aktiviti itu boleh menyebabkan letupan serta mengumpulkan maklumat tambahan apabila kerja penggalian dilakukan bagi mendapatkan bukti fizikal berkaitan kejadian.ARTIKEL BERKAITAN: “Tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti” - Tular tangkap layar WhatsApp, individu dakwa tanah rizab PETRONAS dicerobohARTIKEL BERKAITAN: Bantuan RM5,000 dan RM2,500 untuk mangsa kebakaran saluran gas - PM"Satu jawatankuasa teknikal negeri ditubuhkan untuk menyiasat insiden ini, melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.Selain itu, JKR diamanahkan untuk mengenal pasti punca letupan dari sudut teknikal.Sehingga kini, pihak berkuasa tidak dapat meneliti punca letupan secara langsung kerana keadaan kawasan masih tidak stabil akibat landskap kawasan kejadian sudah berubah.Daripada sudut siasatan jenayah, polis turut menyiasat kemungkinan unsur khianat atau kecuaian dalam kejadian ini dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan, sekiranya ada.JKR menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan untuk menghasilkan laporan penuh mengenai kejadian ini sebelum operasi dimulakan bermula 15 April.Sehingga kini, seramai 56 saksi, termasuk mangsa di tempat kejadian, kontraktor dan pekerja telah memberi keterangan kepada pihak polis. Beberapa kawasan dan penduduk sekitar terjejas akibat kebakaran saluran paip gas yang berlaku."Buat masa ini kita kenal pasti seorang saksi utama, iaitu pengawal keselamatan yang berada dihadapan bangunan sebuah shop lot berhampiran lokasi ketika kejadian. "Dia mengalami kecederaan dan dia telah memberikan maklumat kepada pihak berkuasa," kata Hussein.Dalam perkembangan berkaitan, pihak bomba menyatakan bahawa kebocoran gas sahaja tidak boleh menyebabkan kebakaran atau letupan, sebaliknya memerlukan sumber api. Oleh itu, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor yang mencetuskan letupan.Berhubung dakwaan mengenai mangsa rentung, Datuk Hussein menegaskan bahawa tiada mayat ditemui setakat ini. "Ada dua kawasan kita buat semakan. Ada buat dakwaan bahawa mangsa terjun ke Sungai Klang yang lokasinya 50 meter daripada kawasan kejadian. "Jadi pihak bot (polis marin) membuat pemeriksaan secara surface (awal) dan pihak kami tidak menjumpai sebarang mayat."Ini termasuk menggunakan anjing pengesan dan unit forensik tetapi tidak menemukan sebarang petunjuk (mayat) mengenai kehilangan mangsa di rumah-rumah yang ditinggalkan selepas kejadian," jelasnya.Pihak berkuasa akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini serta memastikan langkah-langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.