suria

“Saya tak nak dia mati!” - Budak lelaki menangis dalam hujan lebat, rayu bantu selamatkan adik jatuh longkang

Tangkap layar menunjukkan detik cemas ketika kejadian pada petang Jumaat.

TULAR rakaman detik cemas seorang kanak-kanak lelaki dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian pada petang Jumaat.

Insiden yang dipercayai berlaku sekitar pukul 6 petang itu dirakam dalam dua video berasingan, menunjukkan kejadian berhampiran sebuah masjid di Jalan Ciku, Kota Masai, Johor.

Dalam rakaman pertama, kedengaran suara seorang lelaki menjerit meminta tolong sambil memberitahu terdapat seorang budak terjatuh ke dalam longkang, sambil seorang lagi individu dilihat cuba membantu mangsa.  

Difahamkan, sebelum kejadian mereka sedang bermain hujan sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir dan terjatuh ke dalam sebuah longkang dan dibawa arus deras.  

Namun, apa yang lebih menyentuh hati adalah rayuan seorang lelaki yang turut berada di lokasi kejadian.

Dia merayu sambil menangis kepada perakam video supaya menyelamatkan adiknya.

Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan.

“Tolong bang, tolong! Allahuakbar, tolong adik saya. Itu adik saya. Saya tak nak dia mati, bang,” rayunya dalam nada penuh emosi.

Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan selepas dipercayai tersangkut daripada terus dibawa arus.

Berdasarkan rakaman kedua, mangsa yang memakai baju Melayu berwarna merah berjalan bersama abangnya sambil membawa satu beg galas.

Sementara itu, di ruangan komen di media sosial, netizen mempersoalkan tindakan individu yang merakam kejadian berkenaan.

"Bagus bang, kena rakam dulu.

"Padahal boleh kejar bagi budak tu paut pada batang payung tu. Tapi tu la... Apa-apa pun Alhamdulillah Allah sayang adik ni.

"Rakam macam tu padahal boleh je kau tolong masa dia dekat parit kecil tu," komen beberapa netizen yang kurang senang dengan pemilik asal video.

Artikel Lain