suria

Lebih 8,000 calon SPM tak hadir semua kertas bertulis... Kerja cari duit, masalah keluarga antara punca

Lebih 8,000 calon tak hadir SPM. -Gambar hiasan

SERAMAI 8,076 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tidak hadir bagi kesemua kertas bertulis sehingga 6 Februari 2025, kata Fadhlina Sidek.

Menteri Pendidikan itu berkata, pihaknya memandang serius isu ketidakhadiran dalam kalangan calon SPM.

"Berdasarkan data kementerian sehingga 6 Februari 2025, seramai 8,076 calon dilaporkan tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis, dengan 6,231 daripadanya merupakan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

"Data rasmi kehadiran bagi peperiksaan SPM 2024 hanya akan dikeluarkan pada hari pengumuman keputusan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Dr Ahmad Yunus meminta Kementerian Pendidikan menjelaskan punca utama lebih 10,000 calon tidak menghadiri kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM 2024.

ALOR SETAR, 6 Ogos -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fadhlina memandang serius isu ketidakhadiran dalam kalangan calon SPM.

Menurut Fadhlina, bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 386,739 calon baharu mendaftar untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, dengan 345,129 daripadanya merupakan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

"Antara sebab utama ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan SPM 2024 termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, kematian, dan berpindah ke luar negara," dedahnya.

Bagi menangani isu ini, Kementerian Pendidikan melaksanakan beberapa langkah intervensi, termasuk memantau kehadiran pelajar secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

ARTIKEL BERKAITAN: Adik raih keputusan cemerlang SPM, STPM... Kakak jadi saksi satu persatu doa ibu jadi kenyataan

Sebuah pasukan khas turut diaktifkan di semua peringkat.

Selain itu, Dialog Prestasi Nasional turut diadakan bagi membincangkan isu berkaitan kehadiran SPM.

Kementerian Pendidikan juga mengadakan pelbagai program seperti Program Ziarah Cakna, sesi libat urus bersama ibu bapa, kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta jalinan dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta.

Fadhlina turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Meteorologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, dan jabatan pendidikan negeri bagi memastikan kelancaran peperiksaan awam, terutamanya semasa musim monsun atau bencana banjir.

Artikel Lain