suria

CEO GISBH, 21 individu tak mengaku jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Sebahagian daripada 22 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

KETUA Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 lagi anggota pertubuhan berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Kesemua individu yang terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita itu adalah Nasiruddin, 66; isterinya Datin Azura Md Yusof, 58; dan yang lain, Hasnan Abd Hamid, 54; Mohammad Adib At-Tarmimi, 33; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Hamimah Yakub, 73; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33; dan Siti Salmiah Ismail, 58.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Abuya, CEO GISBH antara 22 individu didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Mohammad Adib adalah anak kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, pengasas kumpulan Islam Al-Arqam.

Kesemua tertuduh ditahan reman di Penjara Kajang, kecuali Hamimah, akauntan di GISBH yang diikat jamin pada 13 Januari selepas Mahkamah Tinggi mengambil kira umur dan keadaan kesihatannya.

Peguam tertuduh yang memohon jaminan untuk baki anggota diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Latifah Mohd Tahar mengemukakan permohonan itu pada 17 Mac depan.

Peguam yang mewakili 21 tertuduh (kecuali Hamimah) memaklumkan, pihaknya dalam proses melengkapkan kesemua 21 permohonan jaminan.

Terdahulu, Nasiruddin yang berpakaian kemeja-T biru dan berkopiah, tiba bersama yang lain dalam keadaan bergari dengan diring ketat oleh polis, pada kira-kira 9.30 pagi.

Kira-kira 40 ahli keluarga dan penyokong tertuduh turut hadir di mahkamah bagi memberi sokongan. -The Star

Artikel Lain