suria

Tembak suami isteri, Man Tiger diberkas polis

Suspek iaitu Man Tiger mempunyai 18 rekod jenayah lampau, termasuk sembilan kes berkaitan dadah.

POLIS menahan seorang lelaki yang didakwa melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah di Kampung Bukit Batu, Machap, Simpang Renggam pada pukul 12.17 tengah hari, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Abdurrahman Abdullah atau "Man Tiger" ditahan susulan laporan yang dibuat oleh seorang suri rumah berusia 36 tahun, Dian Yulandi Suboh.

"Suri rumah itu dan suaminya berada di rumah ketika tiga lelaki menaiki Perodua Bezza memasuki kawasan kediaman mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika itu, suri rumah berkenaan sedang berdiri di pintu hadapan apabila ketiga-tiga suspek menghampirinya.

"Salah seorang daripada mereka kemudian mengeluarkan pistol dari pinggangnya, mengacukannya ke arah suri rumah dan suaminya sebelum melepaskan empat das tembakan," katanya.

Suspek kemudiannya melepaskan dua lagi tembakan ketika meloloskan diri.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana peluru hanya terkena bingkai pintu dan sebuah meja di kawasan parkir kereta.

Suspek ditahan di tepi jalan di Jalan Setia 1, Pusat Perdagangan Setia, Simpang Renggam pada pukul 7 malam, Isnin.

"Kami masih menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan tujuh lagi individu yang masih bebas," katanya sambil menambah suspek akan direman di Mahkamah Batu Pahat pada Selasa.

Suspek yang tidak bekerja mempunyai 18 rekod jenayah lampau, termasuk sembilan kes berkaitan dadah.

Malah, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Lain