suria

Pembunuh Altantuya terlepas hukuman mati... Mahkamah perintah penjara 40 tahun, 12 sebatan

Hukuman mati ke atas pembunuh Altantuya dipinda pada Khamis.

BEKAS anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya meminda hukumannya kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Hukuman penjara itu berkuasa kuasa 1 November 2006 iaitu tarikh ketika tangkapan terhadap lelaki berusia 48 tahun itu yang disabitkan bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan hukuman mati yang dikemukakan Azilah.

"Permohonan pemohon dibenarkan, hukuman gantung ditolak dan digantikan dengan pemenjaraan 40 tahun dan 12 sebatan," katanya yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan TanSri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan pada Khamis.

Tahun lalu, satu permohonan pindaan hukuman difailkan selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023.

Undang-undang baharu itu memperuntukkan hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengekalkan hukuman mati yang telah dijatuhi terhadap tertuduh atau memindanya kepada hukuman penjara di antara 30 hingga 40 tahun.

Pada 2009, Azilah bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar disabitkan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu atas kesalahan dilakukan.

Sementara itu, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah.

Selepas kejadian bunuh itu, Azilah dan Sirul Azhar pernah bebas selama dua tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Namun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

Terdahulu, Azilah turut memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor.

Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

Bagaimanapun, kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain