IBU bapa kepada salah seorang tiga pelajar maut dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun mengambil keputusan berpatah balik dari perjalanan untuk menunaikan umrah. Memetik laporan Harian Metro, pasangan itu yang merupakan ibu bapa kepada Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, terus menempah penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dan telah berlepas dari Jeddah pukul 1.55 pagi waktu tempatan. Ketika kemalangan melibatkan anak mereka pada pukul 7.20 malam Rabu, pasangan itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.35 petang, hari yang sama masih dalam penerbangan ke Jeddah dan tiba di sana pada pukul 9.15 malam tadi (waktu tempatan). Ku Adib Aizab adalah anak kepada Penolong Pengarang Berita Berita Harian, Hafizah Iszahanid manakala bapanya, Ku Azmi Saad adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP). Mangsa lain yang maut adalah rakan Ku Adib Aizab iaitu Khairil Anuar Jamaluddin, 20, yang sama-sama menuntut dalam jurusan Ijazah Perakaunan manakala Mohd Akhmal Tukirin, 20, pelajar Ijazah Perhotelan. Seorang lagi rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, yang cedera parah sedang mendapatkan rawatan di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku pukul 7.20 malam, Rabu.. Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV merempuh dua buah motosikal Yamaha jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC dinaiki empat pelajar berkenaan. Semua mangsa dirempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal terbabit menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang manakala CRV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran. Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan baru selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti di Kampung Sura Hujung, Dungun. Menerusi hantaran Instagram Rektor UiTM Dungun, pihaknya memaklumkan tiga jenazah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun pukul 10 pagi ini, disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang, Sungai Buloh dan Muar untuk dikebumikan. Sementara itu, pengurusan UiTM Cawangan Terengganu juga turut mengesahkan tiga pelajarnya meninggal dunia, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube