PERINTAH tahanan reman selama empat hari dikeluarkan kepada wanita yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu. Majistret Nur Amira Fatihah Osman mengeluarkan perintah reman terhadap wanita dipercayai sakit mental itu selepas menerima permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis. Siasatan ke atas suspek berusia 49 tahun itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV ketika kejadian dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan menjelaskan pemandu wanita itu disyaki merempuh dua motosikal yang ditunggang empat penuntut menaiki dua buah motosikal Yamaha jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat tunai umrah... Ibu bapa patah balik, dapat berita duka anak kemalangan dekat UiTM Dungun ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UiTM tunggang motosikal sama pernah ragut nyawa abang, bapa menggigil kali ke-2 ‘hilang’ anak... Emas hadiah terakhir buat ibu Kemalangan meragut nyawa itu berlaku di laluan berhadapan kampus dekat Kampung Sura Hujung, Dungun ketika mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah gerai makan pukul 7.20 malam, Rabu. Mangsa yang maut adalah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin, masing-masing berumur 20 tahun. Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, parah dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Ketiga-tiga jenazah dimandikan dan dikafankan di Hospital Dungun pada pagi Khamis, disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang, Sungai Buloh dan Muar untuk dikebumikan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube