suria

“Saya rasa punggung dipegang” - Wanita trauma dicabul di kedai serbaneka, dedah wajah lelaki gatal

Tangkap layar rakaman CCTV di sebuah kedai serbaneka.

KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah kedai serbaneka popular bertukar mimpi ngeri apabila dia dicabul seorang lelaki tidak dikenali.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram pada Rabu malam, mangsa mendakwa kejadian berlaku di dalam kedai serbaneka di sebuah pasar raya besar di Selayang, Selangor.

Kejadian pada petang Selasa itu turut dirakamkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Rakaman berdurasi 9 saat itu menunjukkan mangsa sedang berjalan di rak barangan dan berselisih dengan pelaku yang kemudian dirakamkan mencuit dan meraba punggungnya.

"Apabila dia melepasi saya, saya rasa punggung saya dipegang lelaki tersebut.

"Dia terus melarikan diri, saya berasa panik dan terus pergi ke kaunter pembayaran berjumpa dengan pengurus premis untuk melihat rakaman CCTV," katanya menerusi laporan polis yang dibuat.

Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian.

Mengulas lanjut dalam laporan tersebut, katanya, dia kemudian bertemu dengan pelaku yang mengenakan kemeja-T berwarna putih di kaunter pembayaran.

"Saya bertanya kepada lelaki tersebut mengapa berbuat demikian tetapi dia beritahu tidak sengaja melakukan perkara itu.

"Saya menerima rakaman CCTV daripada pekerja premis dan mendapati dia memegang punggung dengan sengaja," katanya lagi.

Sementara itu menerusi hantarannya di Instagram, mangsa berharap agar pelaku ditangkap secepat mungkin agar perkara seumpama itu tidak berlaku kepada orang lain.

Malah, mangsa dikatakan trauma dan berasa tidak selamat dengan insiden yang menimpanya.

"Saya cuma nak keadilan dan pelaku ditangkap. Kepada yang kecam pemakaian saya, saya terima dengan hati terbuka.

"Kalau pakai jubah sekalipun, tak bermakna lelaki ini boleh buat sesuka hati," katanya.

Bagaimanapun setakat ini, semakan mendapati belum ada kenyataan rasmi polis berhubung kejadian yang berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain