suria

“Peluang ini mungkin takkan datang lagi” - Anak kembar teringat kata-kata ibu sebelum rakam foto raya, arwah paling teruja

Anak kembar Allahyarham Rahiza dimaklumkan tentang khabar duka itu ketika sedang berada di sekolah.

PASANGAN kembar Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor tidak dapat menahan sebak apabila diberitahu tentang kematian ibu mereka.

Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, jurugambar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), adalah antara 10 individu yang maut apabila dua helikopter terhempas di Lumut, Perak pada pagi Selasa.

Menurut Nur Qistina Awliyah, 16, dia menerima berita tentang insiden berkenaan ketika berada di sekolah.

Ujarnya, seorang rakan memanggilnya keluar dari kelas dan memberitahu supaya kuat sebelum membawanya ke bilik guru.

“Di sana, saya lihat adik kembar saya menangis sambil seorang guru memegang tangannya.

“Saya tidak percaya ibu sudah tiada. Pagi tadi baru jumpa dia,” kata Qistina Awliyah kepada media sambil mendukung seorang lagi adiknya yang berusia enam tahun.

Mereka mempunyai seorang lagi adik lelaki berumur 15 tahun.

Kembar itu merupakan pelajar SMK Pengkalan TLDM dan telah menetap di kuarters di Lumut sejak 2017.

Keluarga tersebut berasal dari Yan di Kedah.

434677474_3380761815556323_4520701526636197844_n

Allahyarham Rahiza ada berkongsi gambar bersama keluarganya menerusi Facebook pada 10 April lalu.

“Semasa Hari Raya, ibu saya paling teruja mengambil gambar kerana dia berkata peluang seperti itu mungkin tidak akan datang lagi.

“Dia suka membeli produk kecantikan, dan kami akan menyimpan pakaian hari rayanya sebagai kenang-kenangan,” tambah Qistina Awliyah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tenanglah hang kat sana Eija” - Arwah aktif kadet di sekolah, kawan baik tak sangka Rahiza salah seorang mangsa helikopter terhempas

Sejak beberapa hari lalu, dia berkata mereka jarang berjumpa Allahyarham kerana dia sibuk dengan latihan Hari Tentera Laut.

"Dia biasanya keluar pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada lewat malam," katanya, sambil menambah bahawa mereka kini hanya mempunyai bapa di sisi.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun menyebut bedah siasat 10 yang maut dalam kemalangan itu akan selesai pada tengah hari Rabu.

Untuk rekod, dua helikopter iaitu jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) bertembung di Pangkalan TLDM Lumut pada pagi Selasa.

Pertembungan itu menyebabkan sebuah helikopter terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Sebuah lagi pesawat jenis HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain