suria

Zuhal, Marikh maut dirempuh pacuan empat roda... Pemandu larikan diri diburu polis

Keadaan motosikal mangsa selepas rempuhan tersebut.

DUA pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Perak.

Difahamkan, mangsa Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, dilanggar lari oleh pemandu kenderaan tersebut kira-kira pukul 7.10 pagi, Jumaat.

Kedua-dua mangsa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit dari arah Kuala Kangsar menghala Ipoh memasuki simpang ke sebelah kanan iaitu di persimpangan Taman Desa Salak secara tiba-tiba.

Susulan daripada itu katanya, motosikal Honda EX5 yang dinaiki mangsa dirempuh dari arah bertentangan.

Tambah beliau, rempuhan tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah 'polytrauma with suspected neck injury/cervical fracture'.

Pihaknya juga sedang giat mengesan pemandu dan pemilik kenderaan 4x4 terlibat yang sehingga kini belum membuat laporan berhubung kemalangan.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani di talian 014-5073473 bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain