suria

Demi capai KPI, dua pegawai bank terlibat sindiket jual beli akaun... 15 kes penipuan atas talian babit kerugian RM2.3 juta

Kegiatan jual beli akaun berleluasa sejak enam bulan lalu. -Gambar hiasan The Star

SINDIKET penipuan yang menjalankan aktiviti jual beli akaun bank lumpuh selepas 16 individu ditahan di sekitar Gombak, Selangor baru-baru ini.

Kesemua mereka yang ditahan antara 20 Mac hingga 22 Mac lalu, berusia lingkungan 20-an dan 30-an.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang ditahan terdiri daripada 15 warga tempatan termasuk empat wanita serta seorang wanita Nigeria.

Jelas beliau, hasil siasatan mendedahkan beberapa suspek berperanan sebagai 'collector' kad bank, 'runner' yang mencari individu untuk membuka akaun serta orang tengah antara sindiket dengan pegawai bank tempatan.

Susulan itu katanya, polis merampas 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, satu unit mesin pencetak, satu unit komputer riba dan satu fail mengandungi pelbagai dokumen.

Tambah Hussein, hasil semakan mendapati suspek warga tempatan dipercayai dalang sindiket mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021.

Dalam pada itu, beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan menawarkan secara 'one off' antara RM500 hingga RM1,500 kepada individu yang membuka akaun dan menjualnya kepada mereka.

Katanya, akaun bank dan kad ATM yang dibeli kemudian disewakan atau dijual kepada sindiket yang melakukan kegiatan penipuan di seluruh negara untuk penerimaan wang hasil penipuan.

"Siasatan terhadap dua pegawai bank bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) mendapati mereka berbuat sedemikian bagi mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Mereka bertindak menerima pendaftaran akaun bank daripada individu tanpa membuat semakan menyeluruh. Hasil siasatan dapati sebanyak 40 akaun sudah dibuka oleh dua pegawai bank itu," katanya.

Hussein berkata, polis juga mengenalpasti lima akaun bank yang dikesan semasa serbuan terbabit dalam 15 kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM2.3 juta di seluruh Malaysia.

Menurutnya, kesemua transaksi berlaku antara Februari sehingga Mac lalu.

Beliau berkata, polis akan turut memanggil pemilik akaun yang terbabit untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain