suria

Calon SPM maut dilanggar, pegawai kanan PDRM ditahan

Jenazah mangsa dituntut keluarga dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, ipoh, Perak.

PEMANDU kereta yang melanggar seorang pelajar tingkatan lima sehingga maut telah ditahan dan direman esok bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pemandu merupakan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.

Yahaya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam berkata pihaknya menerima maklumat pada pukul 12.40 tengah hari mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha

"Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat bising naik motor, calon SPM maut dilanggar... Pelaku dikatakan anggota polis

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," kata Yahaya.

Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Yahaya juga berkata siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

"Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebatang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam," katanya.

Terdahulu mStar melaporkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut di tempat kejadian selepas badannya diseret sejauh lima meter oleh kereta yang melanggarnya dari belakang.

Sebelum kejadian, dikatakan konflik tercetus antara suspek dan mangsa susulan tindakan remaja itu membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikalnya.

Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas selesai proses bedah siasat sekitar pukul 6.30 petang, Jumaat

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, Ipoh, Perak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain