suria

Rakan Zayn Rayyan buat lakonan semula sekali lagi, dibawa ke tepi tangga dekat belukar lokasi penemuan mayat

Seorang saksi sekali lagi diminta membuat lakonan semula kejadian bagi membantu siasatan kes bunuh Zayn. Foto The Star/ CHAN TAK KONG

SEORANG saksi yang melihat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sekali lagi diminta melakonkan semula kejadian oleh Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.

Pasukan forensik tiba kira-kira pukul 11 pagi Jumaat sebelum seorang saksi kanak-kanak yang melihat Zayn pada petang kehilangannya melakonkan semula pergerakannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Difahamkan pasukan forensik pada mulanya melakukan lakonan semula itu di dalam Blok R sebelum saksi kanak-kanak itu dibawa ke tepi tangga blok sama dekat belukar berhampiran kawasan penemuan mayat.

Lakonan semula itu dijalankan berdasarkan keterangan dua saksi kanak-kanak yang juga rakan kepada mangsa, masing-masing berusia enam dan sembilan tahun.

Selain itu, ia dilaksanakan untuk mengesan sekiranya ada bukti-bukti baharu bermula dari anak tangga Blok R hingga menuju ke anak sungai lokasi mangsa ditemui.

Pada Khamis polis telah melakukan lakonan semula (reconstruct) di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, berdasarkan keterangan dua saksi kanak-kanak yang baru dikesan.

Lakonan semula itu yang dijalankan pada waktu pagi selesai sekitar jam 3.30 petang.

Ia dijalankan bagi membantu kes kematian Allahyarham Zayn yang dilihat masih hidup selepas lima jam dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.

Mayat Zayn, ditemukan di sebatang anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada malam Rabu lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain