suria

Isteri polis, 2 anak maut dirempuh lori ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan

Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Lipis-Benta.

TIGA maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Alza dan treler pengangkut kenderaan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta, Pahang, pada pukul 3.35 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata pemandu yang meninggal dunia, Nor Faizah Ridzuan, 34, adalah isteri kepada anggota polis di Berek Polis Kok Lanas, Ketereh, Kelantan.

"Nor Faizah yang memandu kereta dan anaknya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman (10 tahun) serta anak angkatnya, Muhammad Hafiy AzmanAbdullah (3 tahun) dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

"Siasatan awal dan keterangan saksi bebas mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Nor Faizah tiba-tiba hilang kawalan," katanya.

Menurut Azli, apabila tiba di tempat kejadian, semasa melalui selekoh, kereta itu masuk ke laluan bersebelahan lalu dirempuh oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan tersebut, pemandu serta dua kanak-kanak di tempat duduk belakang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kereta itu diseret oleh lori tersebut dan merempuh besi penghadang jalan.

"Pemandu kereta itu meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan dada.

"Manakala dua kanak-kanak tersebut cedera parah di bahagian kepala," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain