suria

Polis bawa keluar dua kotak besar selepas periksa rumah ke rumah, dipercayai bahan bukti kes bunuh Zayn Rayyan

Pasukan Forensik PDRM bawa keluar dua kotak dipercayai berisi bahan bukti untuk bantu siasatan.

DUA kotak besar yang dibawa keluar pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas kira-kira dua jam membuat pemeriksaan rumah ke rumah di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor pada Selasa malam mengundang tanda tanya.

Difahamkan ia berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mayatnya ditemui di saliran air dekat kawasan apartment itu pada 6 Disember lalu.

Dalam operasi berkenaan, lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula sekitar pukul 8.40 malam dan berakhir kira-kira pukul 10.30 malam.

Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan yang berketinggian empat tingkat.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, pemeriksaan rumah ke rumah yang dibuat pada Selasa bertujuan untuk mengumpul bahan bukti yang boleh membantu siasatan kes.

Untuk rekod, kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran berdekatan takungan air, 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira pukul 10 malam 6 Disember lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain