PERINGATAN mengenai larangan makan dan minum di dalam pengangkutan awam terpapar bukan sahaja di stesen, malah di dalam tren. Namun malangnya, masih ada segelintir yang berdegil untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri. Menerusi satu video yang tular, seorang lelaki yang menaiki LRT dilihat mengambil ruang sehingga tiga tempat duduk penumpang di dalam tren. Lebih menjengkelkan apabila ruangan kerusi tersebut dijadikan tempat untuk meletakkan makanan dan beg galas milik lelaki berkenaan. Tidak cukup setakat itu, dia juga dengan selamba menikmati makanan yang dibawanya dan kemudian membuang sampah di bawah tempat duduk penumpang. Seperti berada di rumah, penumpang lelaki itu kelihatan membuka kasutnya dan duduk sambil bermain telefon pintar dengan menyilangkan kaki dengan hanya berstoking. Pihak Rapid KL tampil memberikan maklum balas. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan lelaki itu yang disifatkan sebagai penumpang yang tidak bertanggungjawab. "Orang macam ni kita layak maki je. Memang keras kepala, dah jelas ada pelekat kata tak boleh makan dalam LRT tapi tetap nak langgar juga. "Sangat menjijikkan, 'indah' betul pemandangan nak tengok stoking dia. Macam LRT tu dia seorang yang punya. Harap ada tindakan segera," kata sebahagian warga maya. Susulan insiden yang tular, Rapid KL tampil di ruangan komen tampil memberikan maklum balas dan peringatan mengenai peraturan di dalam LRT. "Makan tidak dibenarkan di dalam tren. Sekiranya berlaku lagi kejadian seperti ini, mohon untuk terus beritahu nombor tren supaya pihak kami dapat mengambil tindakan pantas. "Kami memohon maaf di atas ketidakselesaan penumpang dan akan sentiasa membuat pemantauan agar kejadian seperti in tidak berulang," ujar Rapid KL. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube