suria

Guru agama didenda RM12,000 perdaya 2 wanita lakukan seks, simpan gambar lucah

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah majistret atas pertuduhan ke atasnya. -Gambar hiasan

SEORANG guru sekolah agama berusia 33 tahun didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka, atas pertuduhan memperdayakan dua wanita untuk melakukan hubungan seks dan memiliki imej lucah dalam telefon bimbit.

Denda itu dikenakan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas Ahmad Saifullah Abdul Khalid mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya pada Selasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan bagi dua daripada kesalahan itu, tertuduh telah memperdayakan dua wanita berusia 19 dan 33 tahun dengan menawarkan pinjaman masing-masing berjumlah RM300 dan RM2,000.

Tertuduh memperdayakan mangsa sebelum memancing mereka untuk melakukan hubungan seks dengannya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi berasingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz didakwa cabul 12 pelajar lelaki, umpan makanan pujuk ke bilik tidur

Bagi kesalahan pertama, ia dilakukan di sebuah hotel di Jalan PM4, Plaza Mahkota pada 12.40 pagi 21 Mac, dan yang kedua di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru pada 11 pagi 1 Oktober lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Saifullah didapati memiliki tujuh bahan lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah agama di KM11, Solok Gaung, Bukit Lintang di daerah Melaka Tengah pada 1.50 tengah hari, 3 Oktober lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman denda kerana dia menanggung keluarga termasuk dua anak kecil.

Majistret Sharda Shienha menetapkan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua atau gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan, manakala denda RM5,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan ketiga.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan. -THESTAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain