suria

Himpunan Selamatkan Malaysia terkawal tapi tak patuh undang-undang - Ketua Polis KL

Himpunan Selamatkan Malaysia diadakan di ibu negara pada Sabtu.

HIMPUNAN Selamatkan Malaysia berakhir tanpa insiden yang tidak diingini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Allaudeen berkata program itu bermula sekitar 1.15 tengah hari di Masjid Jamek Kampung Baru dan berakhir berhampiran Kompleks Beli-belah Sogo sekitar 3.30 petang.

"Pemeriksaan kami mendapati trafik kekal terkawal pada Sabtu dengan pematuhan luar biasa oleh pemandu.

"Walaupun perhimpunan itu gagal mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman, polis mengambil setiap langkah yang perlu untuk memastikan ia berjalan lancar.

“Berdasarkan siasatan awal kami, 16 individu memberi ucapan semasa perhimpunan itu. Laporan polis turut dibuat oleh penganjur di balai polis Dang Wangi semasa perhimpunan itu," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid sedar disuruh berundur

Ketika ditanya, Allaudeen berkata polis telah mengenal pasti semua individu yang berkepentingan dalam perhimpunan itu.

Allaudeen menambah bahawa polis adalah penguatkuasa undang-undang, dan dalam kes ini, mereka hanya mengikut undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Seksyen 9 Akta tersebut menyatakan penganjur mesti memberi notis kepada polis, dan borang boleh didapati dalam Jadual Keempat di bawah Seksyen 10 Akta yang sama.

“Dalam borang itu, penganjur mesti dinamakan, dan mereka juga mesti mendapat kelulusan daripada pemilik premis, dan kelulusan bertulis juga perlu disertakan bersama borang itu.

“Memandangkan perhimpunan itu tidak mematuhi Akta, kita akan melihat tindakan yang perlu. Kami telah menerima 22 laporan polis terhadap perhimpunan itu setakat ini," kata Allaudeen. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain