suria

Polis tahan pengasuh dera kanak-kanak di pusat jagaan

Pengasuh yang disyaki mendera kanak-kanak berusia 2 tahun ditahan polis.

SUSULAN video seorang kanak-kanak dicubit dan dihempuk tular di media sosial, seorang pengasuh pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri Kuala Lumpur ditahan.

Dia didakwa mencederakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis mengesan dua klip video berdurasi satu minit 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook, memaparkan wanita mencederakan kanak-kanak itu, pada 5 September.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayar RM1,300 bukan untuk kau hempuk anak aku” - Ibu terduduk lihat pengasuh dera si kecil, patutlah tak bagi tengok rakaman CCTV

Menurutnya, sebelum itu pada 11.28 pagi semalam, polis menerima laporan dibuat bapa mangsa berhubung kes berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul 1 tengah hari semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain