suria

Muhyiddin buat sidang media sebelum Anwar angkat sumpah PM10, gesa kemuka bukti dapat sokongan majoriti

Muhyiddin gesa Anwar buktikan akuan berkanun beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Foto: Bernama

DATUK Seri Anwar Ibrahim digesa untuk mengemukakan bukti bahawa beliau benar-benar memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Gesaan tersebut disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menambah, Anwar perlu menunjukkan bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi melalui akuan berkanun (SD) bagi menoktahkan sebarang keraguan terhadap keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

"Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai perdana menteri.

"Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022, iaitu dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat," ujar Muhyiddin ketika sidang media pada petang Khamis.

Sidang media itu dibuat sekitar jam 4.45 petang, kurang 30 minit sebelum Anwar mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar angkat sumpah PM ke-10

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 hari ini setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Muhyiddin merujuk kepada surat speaker Dewan Rakyat sebelum ini yang mahu ketua-ketua parti mengemukakan sokongan ahli-ahli Parlimen dan menamakan seorang daripada mereka untuk diberi kepercayaan menjadi perdana menteri menerusi akuan berkanun.

Dokumen-dokumen tersebut perlu dihantar ke Istana Negara pada 21 November sebelum pukul 2.00 petang, yang mana tarikh itu kemudiannya dilanjutkan kepada 22 November.

"Pada jam 10.30 pagi 22 November 2022, Setiausaha Agung Perikatan Nasional menghantar satu lagi Surat Akuan Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115, iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Al-Sultan Abdullah, Khamis petang.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan teka-teki mengenai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada Sabtu lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain