suria

Anwar angkat sumpah PM ke-10

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada petang Khamis.

DATUK Seri Anwar Ibrahim secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerima perkenan Agong untuk dilantik menjadi Perdana Menteri selepas Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 5.00 petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Penantian rakyat Malaysia berakhir... Anwar Ibrahim PM kita!

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap pelantikan itu yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

Turut berkenan menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan isteri Anwar iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan teka-teki mengenai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada Sabtu lalu.

Untuk rekod, PH yang dipimpin Anwar untuk PRU15 memperoleh 82 kerusi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain