suria

Serah nama calon PM sebelum 2 petang Isnin - Istana Negara

Nama calon PM perlu diserahkan kepada Istana Negara sebelum 2 petang Isnin.

KETUA parti politik dan ketua gabungan parti politik diminta mengemukakan nama seorang ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum pukul 2 petang Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun diminta untuk memohon kepada ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak istana mengenai gabungan yang telah dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu.

"Menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Istana Negara meminta kerjasama Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti politik/gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu.

"Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang dijelaskan adalah muktamad," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Fadil berkata, Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 1.15 tengah hari Ahad.

Menurutnya, dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada jawapan siapa tadbir negara! PN sedia terima parti lain bentuk kerajaan, Anwar dakwa sudah ada majoriti

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa bakal jadi PM? Netizen saspens parti mana bentuk kerajaan, yang penting mahu umum cuti hari Isnin!

Ahmad Fadil berkata, baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara," katanya.

Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

"Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," kata Ahmad Fadil.

PRU15 yang berlangsung pada Sabtu berakhir dengan situasi di mana tiada parti yang mencapai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Menurut SPR, gabungan Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi di Parlimen pada PRU15 termasuk yang diperoleh dari parti DAP iaitu lima kerusi manakala Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) satu kerusi Parlimen.

Sementara itu, gabungan Perikatan Nasional (PN) menang sebanyak 73 Parlimen termasuk 22 kerusi dari Pas.

Selain itu, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih sejumlah 30 Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (Warisan) (tiga) dan calon Bebas (dua).

Sementara itu, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing mendapat satu kerusi di Parlimen selepas SPR mengumumkan keputusan terbaru melibatkan Parlimen Kota Marudu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain