suria

Muhyiddin kongsi foto jumpa pemimpin politik - “Kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat”

Foto pertemuan itu dikongsi menerusi Facebook Muhyiddin.

PERIKATAN Nasional (PN) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mampu menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang media yang diadakan pada 3 pagi, Ahad.

Terbaharu, Muhyiddin menerusi Facebook pada jam 12 tengah hari turut memuat naik foto pertemuannya dengan dua figura politik bagi membincangkan pembentukan kerajaan baharu.

"Pagi ini saya menerima kunjungan Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

"Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen bebas. InsyaAllah, kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa bakal jadi PM? Netizen saspens parti mana bentuk kerajaan, yang penting mahu umum cuti hari Isnin!

Posting foto itu meraih lebih 15,000 tanda suka dalam masa 15 minit dan turut dihujani ribuan komen netizen.

"Rakyat sayang abah. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini hadiah kami dari rakyat buat abah tanda menghargai jasa bakti abah membantu kami saat susah dilanda ujian wabak.

"Moga rundingan permuafakatan berjaya demi agama bangsa dan negara yg berperlembagaan

"Moga dipermudahkan untuk kita semua. Rakyat telah pun menunaikan tanggungjawab semalam. Moga pemimpin yang terbaik dapat dilantik," tulis beberapa pelayar Facebook.

Selain Muhyiddin, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan keyakinannya untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Menerusi sidang media awal pagi Ahad, Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau mendakwa pakatan itu mempunyai sokongan lebih 111 untuk membentuk kerajaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain