suria

Jangan lupa rebut! Hampir 6,000 peluang pekerjaan di Karnival Jamin Kerja

Tengku Zafrul beramah mesra bersama anak muda yang hadir ke program itu.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja menyebabkan banyak syarikat gulung tikar, malah ramai individu turut kehilangan kerja.

Kehadiran wabak itu juga meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun 2020, dan 4.6 peratus pada 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun memaklumkan situasi itu semakin pulih hasil usaha berterusan kerajaan untuk menanganinya.

"Berkat usaha dan komitmen kerajaan melalui pelbagai langkah seperti Insentif Penggajian, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU), Alhamdulillah, kadar pengangguran negara berjaya diturunkan secara beransur-ansur kepada 3.7 peratus setakat Ogos lalu.

"Pencapaian ini juga adalah hasil dasar-dasar kerajaan yang berjaya menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh selama tiga suku ekonomi berturut-turut, termasuk 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

"Jelas sekali langkah kerajaan yang membuka semula ekonomi dengan selamat dan teratur, memacu permintaan pengguna domestik dan luar negeri berjaya merangsang pertumbuhan perniagaan dan perdagangan yang kukuh," ujarnya.

Tengku Zafrul (tengah) ketika menghadiri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di One Plaza, Kuala Selangor.

Tengku Zafrul berkata demikian sewaktu hadir merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di One Plaza, Kuala Selangor, Selangor, pada Khamis.

Karnival selama dua hari itu berlangsung bermula 3 hingga 4 November.

Sementara itu menurut Tengku Zafrul lagi, Program Subsidi Upah yang diperkenalkan pada 1 April 2020 dengan nilai belanja lebih kurang RM21 bilion turut memanfaatkan 358,158 majikan dan menyelamatkan 2.96 juta pekerjaan di seluruh negara.

Dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kerajaan turut menyokong penuh program-program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs, yang dikelola oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang berfungsi sebagai portal pencarian pekerjaan dan juga perancangan kerjaya.

"Sehingga 14 Oktober 2022, portal MyFutureJobs berjaya membantu 652,799 pencari kerja mendapatkan pekerjaan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 454,510 adalah penerima insentif Program Penggajian PenjanaKerjaya dan Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

Hampir 6,000 peluang pekerjaan disediakan buat pencari kerja tempatan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Selangor.

"Sebagai usaha berterusan, pada hari ini, sebanyak 5,643 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 26 majikan. Karnival yang dianjurkan secara nationwide ini merupakan usaha kerajaan dalam memastikan pencari kerja, terutamanya golongan belia, tidak kiralah sama ada mereka tinggal di Kuala Selangor atau di mana-mana sekalipun, mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor.

"Alhamdulillah, ini sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pendapatan atau pekerjaan yang dialami berikutan pandemik Covid-19," ujarnya lagi.

Menurut Tengku Zafrul, pihaknya juga mahu fokus terhadap aspirasi masa depan dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan khususnya buat komuniti luar bandar.

Antara usaha yang dibuat termasuklah kerjasama dengan Perkeso dan beberapa kementerian serta agensi sehingga wujudnya 150 Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara, 12 daripadanya terletak di Selangor.

"Melalui Bajet 2023, Kerajaan bercadang akan membangunkan 13 lagi Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC seluruh negara bagi menambah kepada 150 Pusat Satelit sedia ada.

"Daripada segi peningkatan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platform, kerajaan melalui KSM, Kementerian Kewangan dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menubuhkan Upskill Malaysia.

"Ia menyediakan maklumat berkaitan semua program latihan dan pembangunan kemahiran melalui pelbagai kementerian dan agensi," ujarnya lagi.

Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran negara berjaya diturunkan secara beransur-ansur kepada 3.7 peratus setakat Ogos lalu.

Selain daripada pelaksanaan kadar baharu gaji minimum iaitu RM1,500 bermula 1 Mei lalu, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan agensinya PERKESO juga mengambil pendekatan holistik dengan menyokong pelbagai jenis pekerjaan dan sektor.

Ia termasuklah mereka yang terlibat dengan pekerjaan sektor ekonomi gig.

Bermula tahun 2021 sehingga kini, Tengku Zafrul berkata seramai 58,456 individu yang bekerja sendiri dibantu melalui penyediaan Insentif KerjayaGig dan SIP Gig.

Tambahnya, majikan-majikan juga diberi insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang digajikan melalui Inisiatif JaminKerja.

"Jadi jika anda mencari kerja, rebutlah peluang keemasan ini. Malah, jika anda memperoleh pekerjaan di negeri lain iaitu luar daripada negeri yang diduduki sekarang, kerajaan bercadang menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off yang dibayar terus kepada pekerja.

"Ingatlah bahawa keusahawanan juga adalah pekerjaan. Jadi, saya juga ingin mengingatkan bahawa Bajet 2023 mencadangkan pelbagai inisiatif untuk membantu belia termasuk peruntukan sebanyak RM305 juta pinjaman khas untuk usahawan belia," katanya.

Siri Karnival Kerjaya anjuran KSM melalui PERKESO diadakan di Tapah, Perak serta Kuala Selangor dan Hulu Selangor, mendukung matlamat inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia untuk menurunkan kadar pengangguran negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain