suria

Kes ‘king’ Myvi terbalik, 3 lelaki rosakkan kereta ditahan... Rupanya kemalangan punca rusuhan

Sebuah kereta dirosakkan beberapa individu dalam kejadian rusuh di sebuah stesen minyak. -Foto media sosial.

SEJAK Khamis malam tular satu video berdurasi 56 saat menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi diterbalikkan orang ramai.

Pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di kawasan Kota Masai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor kira-kira pukul 9.40 malam.

Kekecohan berlaku selepas daripada kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Kedua-dua mangsa kemalangan adalah lelaki tempatan berusia 21 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya menahan tiga lelaki pada Jumaat selepas disyaki terbabit dalam kejadian merusuh dan merosakkan kereta berkenaan.

Suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan sekitar pukul 10.45 pagi hingga 12 tengah hari di sekitar kawasan Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai.

"Pihak polis masih lagi dalam usaha mengesan individu lain yang terbabit dalam insiden itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selepas kejadian tersebut kereta mangsa telah dirosakkan dan diterbalikkan oleh sekumpulan individu tidak dikenali. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan selepas kemalangan jalan raya dan berkeadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Terdahulu, beberapa video tular memaparkan sekumpulan lelaki merosakkan sebuah kereta tular di media sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

OPR naik lagi, kini 2.75 peratus