suria

PM menghadap Agong di Istana Negara, rutin biasa bincang isu kerajaan

Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Istana Negara berkata pertemuan itu merupakan satu aktiviti mingguan untuk bertukar pendapat dan berbincang mengenai isu berkaitan kerajaan.

"Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan," ujar kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri tinggalkan Istana Negara selepas sejam menghadap Agong... Apa bakal berlaku?

Terdahulu, mStar melaporkan Ismail Sabri meninggalkan Istana Negara pada 4.45 petang Khamis selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat mingguan itu mengambil masa kurang sejam, walaupun sebelum ini timbul spekulasi bahawa dia akan memohon pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi tumpuan kerana ramai yang menjangkakan bahawa Perdana Menteri akan mempersembahkan tarik pembubaran Parlimen.

Untuk rekod, penggal Parlimen semasa akan berakhir pada Julai 2023.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain