suria

Cepat dan mudah... Pengguna boleh bayar tol tanpa palang menjelang 2025

Kerajaan sedang dalam perancangan untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. - Foto The Star

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) mengemukakan cadangan untuk menghapuskan palang tol sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Sebaliknya sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menggunakan teknologi pengesan elektronik akan digunakan bagi membolehkan pengguna melepaskan pembayaran secara automatik tanpa perlu memperlahankan kenderaan di plaza tol.

Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara tersebut sudah dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri dan sekarang dalam perbincangan bersama konsesi lebuh raya.

“Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong adalah kaedah ke hadapan dalam sistem pembayaran kutipan tol. Tiada palang tol dan kereta tak perlu berhenti untuk membayar tol.

“Ia dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol serta akan meningkatkan kepuasan kepada pengguna lebuh raya.

“Sudah menjadi matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti rakyat Malaysia dengan mengurangkan masa yang terbazir di atas jalan raya serta stres pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu Fadillah berkata KKR juga sedang dalam proses membangunkan sensor penimbang weight-in-motion bagi menyekat kenderaan yang melebihi had muatan daripada memasuki jalan raya.

“Salah satu cabaran untuk mengekalkan jalan raya dalam kondisi yang baik ialah mengekang kenderaan lebih muatan. Sekarang ini kenderaan lebih muatan perlu melalui pusat timbangan yang diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selepas ini sistem timbangan akan dipasang di jalan raya dan dapat pantau terus kenderaan mana yang lebih muatan. Lebih mudah untuk membuat penguatkuasaan sekaligus memanjangkan jangka hayat jalan raya,” katanya lagi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain