suria

Tergamak serang pusat tahfiz, 3 lagi suspek ditahan polis... Rupa-rupanya positif dadah jenis heroin

Video tular serangan pusat tahfiz yang menimbulkan kemarahan ramai.

VIDEO tular memaparkan sebuah pusat tahfiz yang diserang sekumpulan individu mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Susulan itu, dua pekerja bengkel kimpalan ditahan pada Jumaat selepas dipercayai memukul seorang tenaga pengajar dan pelajar pusat tahfiz dekat Jalan Cheneras di Kuala Lipis pada Khamis.

Terkini, polis pada Sabtu menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, seorang lelaki ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kuala Nerus kira-kira jam 1 pagi dan kira-kira sejam kemudian, seorang suspek ditahan di tepi Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu manakala suspek ketiga ditahan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara 1, Jerantut kira-kira jam 8 pagi.

“Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat diterima daripada dua suspek yang ditahan sebelum ini mengenai tiga suspek yang masih bebas," katanya dalam sidang akhbar di IPD Lipis, pada Sabtu.

Tambah Azli, ketiga-tiga suspek ditahan untuk proses dokumentasi bagi mendapatkan perintah reman.

Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 30an itu mendapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan selain dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, Azli berkata, setakat ini beliau difahamkan pusat tahfiz berkenaan ditutup buat sementara waktu dan guru yang cedera telah pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan hendaklah mendapatkan maklumat sahih daripada pihak polis berkaitan perkara yang tular di laman sosial mengenai kes ini.

“Polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan perlu mendapatkan rujukan serta nasihat daripada polis sebelum membuat tindakan terutama melibatkan pelajar tahfiz di bawah umur yang dilindungi di bawah akta kanak-kanak dan sebagainya,” kata beliau. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain