suria

Matrade memangkin eksport Malaysia melalui pendigitalan

Usahawan Malaysia yang berminat meneroka pasaran antarabangsa digesa untuk mendaftar dengan Matrade.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, perubahan besar melibatkan aspek pendigitalan dapat dilihat dalam dunia perniagaan dan perdagangan.

Selepas berhadapan pelbagai cabaran, trend tersebut dilihat terus subur dikala masyarakat dunia kini perlahan-lahan menyesuaikan diri dalam fasa endemik.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), perdagangan antarabangsa dapat ditingkatkan dengan pendigitalan, melalui pengurangan kos, penyelarasan rantaian nilai global, perkongsian idea serta penggunaan teknologi yang menghubungkan lebih banyak perniagaan dengan pengguna.

Sedar dengan kepentingan pendigitalan dalam perdagangan antarabangsa, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) giat mempromosikan pendigitalan dalam kalangan pengeksport Malaysia, jauh lebih awal sebelum kemunculan Covid-19.

Sebagai organisasi nasional yang mempromosi perdagangan, Matrade komited dalam memastikan syarikat Malaysia berjaya menembusi pasaran global serta kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Antara inisiatif yang diambil termasuk menyediakan laman web yang komprehensif dengan maklumat yang diperlukan oleh syarikat Malaysia, serta Direktori Produk, Perkhidmatan serta Jenama Malaysia yang boleh diakses secara terus oleh pembeli asing yang berminat.

Matrade turut menawarkan rangkaian perkhidmatan digital yang luas, merangkumi perkongsian risikan pasaran, padanan perniagaan secara dalam talian, permohonan bagi insentif kerajaan untuk tujuan perdagangan dan promosi maya.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan, Alat Penilaian Kesediaan Eksport (Erat) merupakan aplikasi yang membantu syarikat untuk memastikan sama ada mereka bersedia atau tidak untuk memulakan eksport.

aby new

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Abu Bakar Yusof.

“Di bawah Erat, syarikat perlu menjawab 23 soalan dan sistem akan menyusun semua jawapan untuk mengukur prestasi mereka dalam empat ciri khusus iaitu sumber eksport, kaedah pemasaran, komitmen pengurusan serta potensi produk dan perkhidmatan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Pembangunan Pengeksport) Abu Bakar Yusof.

Selain dari itu, platform MyExport yang merupakan perkhidmatan atas talian eksklusif untuk pengeksport Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE bagi mendapatkan maklumat perdagangan boleh diakses secara percuma melalui Portal Rasmi MATRADE di www.myexport.matrade.gov.my.

Maklumat pasaran yang dimuat naik ke MyExport sentiasa dikemaskini oleh 46 pejabat perdagangan Matrade di seluruh dunia. Melalui portal ini, syarikat akan menerima maklumat perdagangan secara real time,” ujar Abu Bakar lagi.

MyExport turut diiktiraf sebagai salah satu penerima anugerah di majlis Anugerah Pertubuhan Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) 2020 di bawah kategori “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik”.

Mihas

Bagi memperkukuhkan industri Halal, penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) pada tahun 2021 tetap dianjurkan meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. Acara ini telah dilaksanakan sepenuhnya secara maya, di mana kesemua komponen iaitu pameran, padanan perdagangan serta hab pengetahuan dijalankan secara digital.

Hasil penganjuran ini, Matrade telah diiktiraf sebagai pemenang kategori "Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik" di Persidangan dan Anugerah WTPO ke-13 pada 17 Mei.

Di samping itu, Mihas 2021 turut diiktiraf di Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2021, merangkul Anugerah Emas dalam kategori kempen "Pandemic Pivot" atau "Komunikasi Covid-19" Terbaik.

Bagi tahun 2022, penganjuran acara ikonik Matrade ini diteruskan dengan tema ‘Mempelbagaikan Kemungkinan Halal’.

Acara tahun ini yang diadakan dalam format hibrid dilihat dapat merancakkan lagi ekosistem perniagaan Halal dalam fasa endemik.

Pemain Halal antarabangsa kembali berkumpul bagi memperkukuhkan industri di samping terus merangsang pertumbuhan perdagangan rentas sempadan.

Mihas 2022 menjangkaui segmen Halal tradisional, di mana ia merupakan acara terbaik bagi membina jaringan perniagaan dalam industri Halal.

Mewujudkan rangkaian perhubungan digital

Dengan jaringan 46 pejabat perdagangan di seluruh dunia, Matrade memainkan peranan penting dalam mempromosikan eksport Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Pn Shari new

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) Sharimahton Mat Saleh.

Bagi tujuan ini antara inisiatif pendigitalan yang diperkenalkan ialah program Rangkaian Perniagaan Elektronik (eBizLink).

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Akselerasi Eksport) Sharimahton Mat Saleh, eBizLink merupakan inisiatif baharu berimpak tinggi di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang dilaksanakan dalam memacu pertumbuhan eksport Malaysia dengan memanfaatkan platform hibrid”.

“Program menyediakan solusi yang kos efektif dan lestari kepada syarikat Malaysia meliputi PKS dan syarikat peringkat pertengahan (SPP) bagi merebut peluang perniagaan baharu di pasaran global dalam mengharungi cabaran pandemik COVID-19” tambah beliau lagi.

Di bawah program ini, pejabat antarabangsa Matrade bekerjasama dengan rakan kongsi pasaran tempatan serta influencers dan Key Opinion Leaders (KOL) untuk mempromosikan syarikat Malaysia melalui platform hibrid (dalam dan luar talian).

Pada masa yang sama, Matrade turut membantu syarikat Malaysia bertemu dan memadankan perniagaan mereka dengan pengimport yang berminat melalui program eBizMatch, yang juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeksport Malaysia.

Menerusi program eBizMatch, pengeksport dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerana mesyuarat dalam talian menjimatkan banyak masa dan wang dan mereka tidak perlu melakukan perjalanan untuk bertemu pembeli.

Program eTrade turut membantu syarikat yang terlibat menyenaraikan produk mereka di platform-platform eDagang antarabangsa. Program ini terus dipertingkatkan lagi dengan pertumbuhan saiz pasaran e-Dagang global yang melonjak akibat wabak Covid-19, dimana ciri-ciri tambahan inisiatif pemudahcara eksport eTrade dipertingkatkan

Skim ini telah membantu sekitar 280 PKS dan menjana jualan eksport sebanyak RM26 juta menerusi platform eDagang.

Ini masanya untuk eksport

Sungguhpun sekatan perjalanan akibat pandemik telah berakhir, dan negara berada dalam fasa endemik, digitalisasi dilihat sebagai masih kekal relevan, dan merupakan aktiviti utama perniagaan dalam norma baharu.

Syarikat Malaysia digesa agar terus melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa. Matrade sedia membantu syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global melalui pelbagai program promosi eksport.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.matrade.gov.my. Sebagai alternatif, anda juga boleh menghubungi mana-mana pejabat atau platform media sosial Matrade.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain